The Cats mahu terus ‘berlari’ laju – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Kapten Kuching City FC, Joseph Kalang Tie mahu rakan sepasukan terus pandang ke hadapan untuk memastikan pasukan tidak lagi keciciran mata selepas meraih kemenangan pertama dalam aksi Liga Perdana, Sabtu lalu.

Meskipun skuad The Cats berada di tangga kelapan dengan catatan satu menang, dua tewas, satu seri, Joseph tetap merasakan mereka tidak perlu panik memandangkan pasukannya kini sudah serasi.

Tidak menolak momentum skuad kendalian Irfan Bakti bermula agak perlahan, bekas pemain Selangor itu percaya barisan mereka sudah mula menonjolkan peningkatan terutamanya ketika menang 2-1 ke atas PDRM FC tempoh hari.

“Bagi saya, belum masanya untuk kita berasa panik dengan pencapaian sekarang kerana kalau kita tengok graf prestasi pasukan ketika ini, kami sudah mula untuk meningkat secara perlahan.

“Memang awal-awal hari itu agak getir untuk mendapatkan momentum, tetapi sekarang saya dapat lihat semua rakan sepasukan semakin menunjukkan penambaikan lebih 100 peratus.

“Lepas liga kembali bersambung bulan depan, kami memang akan fokus perlawanan demi perlawanan untuk mengutip mata sebanyak yang mampu dan paling penting dapat perbaiki kedudukan liga dengan lebih baik,” jelasnya.

Berbaki lebih kurang seminggu sahaja lagi untuk berdepan aksi kelima Liga Perdana, Joseph menyifatkan pertembungan dengan Negeri Sembilan selaku pendahulu liga akan menjadi pertarungan yang cukup sukar.

“Negeri Sembilan sekarang memang dalam kedudukan yang selesa dan kita tidak boleh fokus terhadap satu benda sahaja, tetapi perlu tengok semula setiap kelemahan daripada setiap bahagian agar tidak mudah bolos,” kata Joseph.