The Terminator rasa dunia terhenti seketika

The Terminator rasa dunia terhenti seketika

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom merasakan seperti dunia terhenti seketika sebaik terbabit dengan kemalangan sekali gus memusnahkan impiannya untuk membawa pulang pingat di sukan Olimpik Paris 2024.

Shah atau dikenali sebagai The Terminator berkata, dia rasakan segala harapan, penat lelah sejak hari pertama di temasya itu lebur walaupun sudah melihat peluang memenangi sekurang-kurangnya gangsa sudah terbentang di depan mata.

Katanya, situasi terbabit membuatkannya sukar untuk diterima namun dia perlu berfikir secara rasional dan memandang ke hadapan bagi mengharungi kejohanan lebih mencabar kelak.

“Namun, sebagai muslim kita perlu redha atas semua ketentuan. Kita merancang, Allah merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang.

“Untuk semua doa, sokongan dan semangat kalian, saya dengan rendah hati, mengucapkan ribuan terima kasih. Terima kasih kerana selalu menjadi kekuatan di belakang saya. Semoga Allah membalas yang lebih baik buat semua,” katanya.

Selain itu, Shah juga mengingatkan semua pihak supaya tinggalkan segala kisah yang berlaku di kota Paris dan menjaga nama baik Malaysia daripada semua aspek.

“Oleh itu, saya berharap warga Malaysia yang menyokong dan menonton acara-acara sukan, apatah lagi di pentas sebesar ini untuk turut menjaga nama baik negara. Apa jua yang berlaku di lapangan dan gelanggang, jangan sesekali diheret sebagai isu peribadi dan emosi.

Negara kita negara yang penuh budi bahasa, semoga terzahir dalam konteks sukan juga,” katanya.

Pada perlumbaan di Velodrom Saint Quentin en Yveline itu, Shah Firdaus mengalami nasib malang apabila dia yang suatu ketika dilihat berada di kedudukan untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa pada pusingan terakhir dilanggar pelumba Jepun, Shinji Nakano yang mengakibatkanya terjatuh.

Dia yang tidak dapat menamatkan perlumbaan diklasifikasi berada di kedudukan keenam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top