Tiada dwistandard pematuhan SOP – Utusan Digital

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada soal ‘double standard’ (dwistandard) dalam pelaksanaan dan penguatkasaan prosedur standar operasi (SOP) dengan tiada pihak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, tidak kira individu terlibat sama ada perdana menteri atau menteri, mereka bakal berdepan penguatkuasaan peraturan.

Beliau menjelaskan, setiap tindakan diambil adalah berlandaskan undang-undang tanpa mengira status seseorang itu.

“Apa kuasa hendak tangkap atau kenakan kompaun RM10,000. Pasal itu SOP bersandarkan undang-undang dan diwartakan. Kalau tidak diwartakan, tidak sah. Ini cerita ramai tidak tahu.

“Sebab itu, kalau kerajaan buat keputusan SOP, selagi belum diwartakan, ia belum boleh dikuatkuaskan,” katanya dalam Program Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di di RTM TV1 dan Bernama TV.

Muhyiddin meminta rakyat supaya mengelakkan daripada melakukan kesalahan mengingkari SOP kerana ia tidak dibuat untuk menyekat hak asasi manusia sebaliknya membendung penularan Covid-19.

Perdana Menteri kemudian menjelaskan SOP Covid-19 yang sering berubah-ubah adalah disebabkan ia tidak statik dan bersifat dinamik serta mengikut perkembangan semasa penularan Covid-19.

“Ini kerana ikut keadaan situasi yang memerlukan kita membuat pelarasan menangani situasi yang berbeza-beza. Contoh dibenarkan restoran terima pelanggan masuk makan, sekejap dua orang, sekejap empat orang, kemudian tidak boleh pula.

“Saya minta maaf kalau ada yang agak terkeliru. SOP dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak sewenang-wenangnya. Ikut keadaan situasi yang memerlukan kita membuat pelarasan untuk menangani situasi yang berbeza-beza,” katanya.

Muhyiddin menambah, beliau amat memahami rungutan rakyat yang melibat bahawa SOP sering berubah-ubah namun ia disebabkan oleh situasi keadaan Covid-19 itu sendiri.

Katanya, pelaksanaan SOP diputuskan dalam mesyuarat MKN yang dihadiri bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun.

Dalam pada itu, Muhyiddin meminta rakyat melakukan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self-lockdown’ untuk menyekat peningkatan mendadak Covid-19 apabila kebelakangan ini menyaksikan bilangan jangkitan harian kini mencecah lebih 6,000 kes setiap hari.

Perdana Menteri menasihati rakyat supaya mengingatkan orang lain untuk berbuat perkara sama kerana sebarang langkah kerajaan mengekang penularan virus tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP ditetapkan.

“Ada yang asyik tanya kenapa tak buat total lockdown? Do your own lockdown, buat self-lockdown, stay at home and tell others to do the same thing kerana apapun usaha yang dibuat tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP ditetapkan.

“Sebaiknya kita bekerjasama, tak payah nak salah-menyalahkan, cari jalan, berdoa semoga kita diberikan perlindungan dan dengan usaha ini insya-Allah, kita akan menang,” jelas Muhyiddin.