'Tiada istilah konon, saya memang tidak tahu' – Bung Moktar

'Tiada istilah konon, saya memang tidak tahu' – Bung Moktar

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin menepis cadangan pendakwaan kononnya beliau baru mengetahui isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad menerima wang pengenalan wang RM2.8 juta ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebenarnya memang tiada istilah konon, memang saya tidak tahu dan saya terkejut terperanjat dengan peristiwa yang berlaku,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada sesi pemeriksaan balas, hari ini.

Law pada peringkat itu mencadangkan kepada Bung Moktar bahawa beliau kononnya baru mengetahui isterinya menerima wang pengenalan melalui pelaburan FELCRA Bhd dalam unit amanah Public Mutual berjumlah RM150 juta ketika disiasat SPRM.

Timbalan Pendakwa Raya itu turut mencadangkan bahawa pada ketika itu Bung Moktar sudah pasti marah dan sedih.

Disoal lanjut sama adakah beliau bersetuju dengan cadangan bahawa hakikatnya isterinya itu menerima RM2.8 juta daripada perunding unit amanah, Norhaili Mohd Mokhtar sebagai wang pengenalan, Bung Moktar menjawab, ‘setuju’.

Law: Setuju dengan saya tiada apa-apa tindakan diambil Datuk Seri apabila kononnya baru tahu RM2.8 juta diterima Datin Seri daripada Norhaili?

Bung Moktar: Yang Arif, saya pun tidak tahu tindakan apa sebab saya telah dipanggil untuk disiasat, ia telah menjadi urusan SPRM.

Law: Setuju atau tidak, tiada sebarang laporan polis atau SPRM dibuat berhubung dengan kononnya baru tahu RM2.8 juta diterima Datin Seri?

Bung Moktar: Memang tidak ada sebab (kerana) saya sudah disiasat oleh SPRM yang menyatakan isteri saya menerima RM2.8 juta, saya rasa tidak ada keperluan kerana saya masih disiasat SPRM.

Law: Setuju Datin Seri Zizie Izette telah menerima RM2.8 juta sebagai wang pengenalan selepas memperkenalkan Norhaili kepada Datuk Seri?

Bung Moktar: Saya tidak bersetuju kerana saya tidak tahu bahawa pelaburan itu akan membawa sebarang pulangan.

Sementara itu, Bung Moktar mengakui Zizie Izette giat menjalankan perniagaan sejak tahun 2010, bagaimanapun berkata ia dihentikan ketika penularan wabak Covid-19.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga bersetuju dengan cadangan Law bahawa isterinya menjalankan pelbagai pelaburan.

Law: Setuju dengan cadangan saya, Datin Seri Zizie Izette akan berkongsi jika pelaburan itu untung mahu pun rugi.

Bung Moktar: Untung tidak kongsi, rugi pun dia tak beritahu.

Law: Datin Seri Zizie Izette adalah seorang yang kurang bercerita dan tidak banyak berbincang?

Bung Moktar: Setuju.

Law: Saya cadangkan, Datuk Seri kononnya tidak tahu apa-apa mengenai harta dan punca pendapatan Datin Seri Zizie Izette?

Bung Moktar: Bukan konon, saya sememangnya tidak tahu apa-apa.

Sementara itu, Bung Moktar turut disoal mengenai wang pengenalan berkenaan daripada dua ejen pelaburan Public Mutual, iaitu Norhaili dan Madhi Abdul Hamid yang mencecah RM2.8 juta.

Bung Moktar mengulangi pendiriannya, perkara itu hanya diketahui selepas beliau dipanggil memberi keterangan kepada SPRM.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top