Penyanyi dan bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal, mengakui berasa bersalah selepas doa gurauan terhadap suaminya benar-benar termakbul.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Syasya bercerita bagaimana doa yang terlepas ketika dirinya sedang demam bertukar menjadi satu pengajaran besar dalam rumah tangga.
“Beberapa hari lalu saya demam. Dalam keadaan sakit hati campur emosi, saya terlepas cakap pada suami, ‘saya doa awak pula demam, biar rasa macam mana sakit ni’.
“Saya ingat sekadar marah sekejap. Esoknya saya dah sihat, tapi suami pula jatuh sakit. Masa tu memang rasa berdosa sangat. Mulut isteri memang masin,” katanya.
Tambah Syasya, kejadian tersebut menyedarkannya betapa kuatnya doa seorang isteri terhadap suami, sama ada dalam keadaan marah ataupun sebaliknya.
“Moralnya, jangan doa perkara tak baik walaupun dalam keadaan marah. Doa isteri ini cepat termakbul. Jadi gunakanlah untuk benda baik-baik. Doa murah rezeki, panjang umur, rumah tangga bahagia dan sama-sama masuk syurga,” ujarnya lagi.





