Tiada lagi amaran – KPN

Tiada lagi amaran – KPN

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan tanpa amaran akan diambil terhadap anggota atau pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melanggar undang-undang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sudah berkali-kali memberi amaran supaya anggotanya tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar undang-undang bagi menjaga nama baik pasukan namun terdapat segelintir yang tidak mengendahkan amaran itu.

“Tiada lagi amaran. ‘Action speak lauder than words’. Tindakan tegas akan diambil menggunakan undang-undang sedia ada jika terdapat anggota atau pegawai yang melakukan perbuatan menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai empat anggota ditahan kerana disyaki mencuri barang kemas milik wanita yang ditemukan mati akibat sakit jantung dalam kereta di parkir kondominium di Setapak 1 Oktober lalu.

Razarudin berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang meneliti rekod perkhidmatan empat anggota yang ditahan itu sebagai sebahagian daripada siasatan.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Empat anggota berkenaan sudah dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat pada Sabtu lalu (2November),” katanya.

Sebelum ini, Rusdi pada Jumaat lalu memaklumkan empat konstabel polis hingga koperal berusia dalam lingkungan 28 hingga 35 tahun itu ditahan di sekitar Setapak membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut beliau kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) dan selepas memperoleh beberapa keterangan, pihak polis telah mengklasifikasikan semula kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Susulan penahanan itu polis merampas sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan berat anggaran 11.52 gram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top