georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Jay Iswazir, 43, bersyukur ikatan silaturahim bersama bekas isteri, Fatimah Azzahra Ahmad kembali terjalin dan tiada bersengketa lagi walaupun memilih untuk bercerai pada 28 Oktober tahun lalu.
Jay atau nama sebenarnya Ahmad Iswazir berkata, hubungan mereka sudah jernih semula dan lega berdamai kerana enggan terus kemelut antara mereka terus berpanjangan.
“Raya tahun ini perbezaannya saya ‘single’, cuma saya sudah berbaik dengan Azzahra. Jadi, kami ambil pendekatan buang yang keruh, ambil yang jernih. Tapi, perbezaannya tidaklah beraya berdua tahun ini.
“Selain itu, kami berada dalam situasi tetap menjaga silaturahim,” katanya.
Jay juga banyak bermuhasabah diri demi menjadi insan yang lebih baik selepas perceraian itu. Dia mendapat kekuatan dan terus positif kerana sokongan dan nasihat positif daripada individu di sekeliling.
“Kesan kepada kesihatan mental itu pada saya semua orang akan melalui perkara sama, cuma bagaimana kita atasi.
“Alhamdulillah Allah dekatkan saya dengan orang sekeliling yang kata-katanya membuatkan saya semangat. Paling seronok bila jumpa mereka. Kadang-kadang ayat mereka banyak buatkan saya jadi positif.
“Saya juga percaya ini juga ketentuan daripada Allah untuk menyedarkan saya bahawa dunia ini adalah tempat singgah untuk mencari bekal di sana,” katanya.
Jay bagaimanapun belum terfikir untuk mengejar hubungan cinta kerana baginya perpisahan yang berlaku itu kasih terlalu baharu. Fokusnya hanya mahu terus memperbaiki diri menjadi insan lebih baik.
“Saya tak terfikir lagi untuk mencari pengganti sebab saya juga baru lagi melalui fasa perpisahan. Dalam tempoh ini juga saya banyak refleksi diri.
“Saya banyak berfikir kalau mahu isteri, apa yang perlu saya persiapkan. Saya banyak belajar apa tanggungjawab sebenar sebagai suami dan apa tanggungjawab beri kasih sayang.
“Perkara ini saya banyak belajar sekarang. Jadi, mengenai orang baharu itu, saya fikir adakah sudah bersedia,” katanya.
Sebelum ini, Azzahra menerusi beberapa hantaran di media sosial mendakwa Jay melakukan keganasan terhadapnya ketika mereka masih bergelar suami isteri.
Hanya berdiam diri, Jay kemudiannya meminta satu permohonan maaf daripada Azzahra untuk mempertahankan dirinya.
Jay dan Azzahra mendirikan rumah tangga pada Mac 2022, namun perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 28 Oktober tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd