SHAH ALAM – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan pihaknya tiada masalah dengan perubahan susunan tempat duduk di Dewan Rakyat yang mana kali ini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin diletakkan bersebelahannya.
Ketua Pemuda Pas itu menegaskan bahawa masing-masing bukan bermusuh cuma berbeza pandangan politik sahaja.
Menurut beliau, Pas dan Bersatu hanya putus hubungan politik, namun jalinan manusiawi tetap kekal.
“Dalam Dewan Rakyat kita akan bertemu dan duduk dengan semua pihak, kawan atau lawan. Itu biasa.
“Sebagai orang muda, hormat kepada mereka yang lebih berusia tetap perlu ada walau berbeza macam mana pun dalam politik. Lebih-lebih lagi kepada senior,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Afnan Hamimi secara peribadi menganggap duduk bersebelahan dengan senior atau orang lama seperti Muhyiddin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kali ini sebagai satu rezeki.
“Sebelum ini saya ‘berjiran’ dengan Ahli Parlimen Semporna, Ahli Parlimen Bagan, Ahli Parlimen Bera dan Ahli Parlimen Machang. Kali ini dengan YB (Yang Berhormat) Pagoh dan Arau.
“Kedua-dua mereka senior dalam dunia politik, puluhan tahun bersilat dalam gelanggang politik dan Dewan Rakyat. Rezeki saya dapat ‘berjiran’ dengan senior.
“Bila dapat jiran baharu ini biasanya ada makan-makan. Tengoklah nanti macam mana, siapa nak belanja siapa,” ujarnya seloroh.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Muhyiddin dipindahkan ke Blok E berdasarkan pelan susunan terkini tempat duduk Ahli Parlimen di Dewan Rakyat menerusi kemas kini Laman Web Rasmi Parlimen setakat Jumaat lepas.
Kedudukan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagaimanapun kekal tidak berubah apabila terus menduduki kerusi di barisan hadapan blok pembangkang.
Hamzah ditempatkan bersebelahan Ahli Parlimen Kemaman yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar manakala Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berada di sebelah Ahmad Samsuri.
Muhyiddin yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi PN duduk di sebelah Ketua Pembangkang.
Berdasarkan takwim menerusi portal Parlimen, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 dijadualkan berlangsung selama 16 hari bermula dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.
Terdahulu, timbul khabar angin mendakwa persidangan Dewan Rakyat ditiadakan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya di beberapa negeri di Semenanjung.
Persidangan kali ini dijangka memberi tumpuan kepada pelbagai isu politik termasuk perkembangan terkini blok pembangkang susulan perubahan kepimpinan yang berlaku dalam PN.



