KUANTAN – DAP dan rakan sekutunya tidak mustahil boleh ditewaskan di Bentong pada pilihan raya akan datang sekiranya perubahan sokongan pengundi seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pahang, Dr Zulkifli Mohamad berkata, keputusan PRN Sabah membuktikan berlaku perubahan sokongan termasuk dalam kalangan pengundi Cina terhadap DAP.
Justeru, beliau berkata, Pemuda Pas perlu memberi fokus kepada gerak kerja luaran serta usaha penambahbaikan dalaman.
“Kita tidak perlu terkesan dengan apa yang berlaku kepada rakan tahaluf dan musuh yang menentang kita, jika ada yang ingin berkawan dengan kita, kita hulurkan tangan persahabatan.
“Namun jika ada yang khianat dan menentang usaha kita melakukan kebaikan, kita tinggalkan mereka dan terus maju sehingga mencapai kemenangan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Bentong.
Dalam pada itu,Dr Zulkifli memberitahu sirah Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai tauladan kepada pewaris pejuang agama.
Menurutnya, sejarah Negara Islam Madinah turut berdepan ancaman musuh luaran iaitu kaum Yahudi yang menjadi sebahagian rakyat negara itu serta golongan munafik yang secara zahir mengaku menyokong Islam.
“Kita hanya dituntut untuk melakukan yang terbaik dan termampu untuk usahakan kemenangan Islam, adapun bagaimana cara dan bila masanya kemenangan Islam itu berlaku, Allah yang Maha Berkuasa menentukan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Sirah dakwah Rasulullah SAW ke Taif mengajar kita utk sentiasa optimis dalam perjuangan dakwah Islam.
“Jika dakwah belum diterima oleh sasaran dakwah, kita teruskan usaha sehingga suatu masa generasi kemudian dari kalangan mereka pula menjadi pendokong agama ini.
“Jika ada yang ingin berkawan, kita hulurkan tangan persahabatan, namun jika ada yang mengkhianati dan menentang usaha melakukan kebaikan, kita tinggalkan mereka dan terus bergerak ke hadapan sehingga mencapai kemenangan,” katanya.



