Tiga peratus kematian Omicron babit kanak-kanak bawah 5 tahun

Tiga peratus kematian Omicron babit kanak-kanak bawah 5 tahun

JAKARTA: Tiga peratus atau 33 daripada 1,090 pesakit yang meninggal dunia akibat Omicron di Indonesia setakat ini membabitkan kanak-kanak berumur bawah lima tahun, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi.

Menerusi pesanan ringkas pada Jumaat, beliau berkata statistik itu berdasarkan kiraan kes yang dijalankan oleh kementerian setakat Ahad.

Memetik laporan antaranews.com, usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko penyakit dan juga kematian akibat COVID-19 boleh dilakukan oleh keluarga dan orang sekeliling dengan mendapatkan vaksinasi dan mematuhi protokol kesihatan yang ketat, katanya.

“Kami sekali lagi menggesa orang ramai termasuk kanak-kanak dan warga emas supaya segera melengkapkan vaksinasi mereka,” katanya.

Siti Nadia yang juga Setiausaha Agung Direktorat Kesihatan Awam kementerian, berkata setakat ini, tiada vaksin COVID-19 disyorkan pakar untuk kanak-kanak bawah lima tahun.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan 1,090 pesakit Omicron yang meninggal dunia, 68 peratus dilaporkan tidak menerima dos pertama atau kedua vaksin COVID-19.

Risiko kematian akibat Omicron sangat tinggi untuk orang dewasa dan warga emas, katanya. Data kementerian menunjukkan hampir 80 peratus pesakit Omicron yang meninggal dunia berumur lebih 45 tahun, katanya.

Beliau berkata 76 peratus daripada mereka berumur 45 tahun ke atas, 49 peratus dikategorikan sebagai warga emas, dan 48 peratus mempunyai komorbiditi.

Sebagai tindak balas kepada lonjakan kes Omicron, kerajaan mempergiatkan vaksinasi dan penggunaan teleperubatan, katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan, 139,140,467 rakyat Indonesia menerima dos lengkap vaksin COVID-19 setakat Jumaat. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top