harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegiatan tidak berfaedah tiga remaja berlumba haram di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berakhir apabila mereka dicekup menerusi Ops Samseng Jalanan, di sini awal pagi, hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi itu dijalankan anggota dan pegawai Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman bermula 12.30 tengah malam.
Menurutnya, dua remaja berusia 18 tahun dan seorang lagi berusia 17 tahun ditahan di dua lokasi berasingan selepas didapati melakukan aksi ‘superman’ dan bersaing antara satu sama lain.
“Ketiga-tiga mereka ini dikesan melakukan aksi ‘superman’ dan bersaing sesama sendiri.
“Aksi itu jelas membahayakan kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi turut menyita motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda EX5 yang digunakan remaja terbabit untuk melakukan aksi samseng jalanan itu.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd

