SONGKHLA – Tiga lelaki warga Malaysia ditahan di Stesen Kereta Api Hat Yai, Songkhla pada 31 Julai selepas disyaki cuba menyeludup 87 kilogram syabu (methamphetamine) yang disembunyikan dalam tiga beg bagasi dan tiga beg galas.
Pengarah Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Wilayah 9, Ratchapon Palakul, berkata, penahanan dilakukan oleh unit “Tawan Hat Yai” dengan kerjasama Polis Kereta Api, Bahagian Pencegahan Jenayah (CSD), Bahagian Antipemerdagangan Manusia (ATPD), Polis Pelancong, Biro Pencegahan Narkotik (NSB) dan ONCB Wilayah 9.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek menaiki kereta api dari Bangkok ke Hat Yai sebelum ditahan sebaik tiba di stesen kereta api itu.
“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku mereka diupah oleh satu sindiket untuk menyeludup syabu atau ‘ice’ ke Malaysia, dengan setiap seorang dijanjikan upah sebanyak RM8,000,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Ratchapon berkata, ketiga-tiga suspek didakwa atas pertuduhan bersama memiliki dan mengedar narkotik Kategori 1 bagi tujuan pengedaran, yang boleh membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda tidak melebihi 1.5 juta baht (lebih kurang RM183,000), jika disabit.
Katanya, siasatan sedang dipergiat untuk mengenal pasti dalang dan individu subahat lain dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan berkenaan. – Bernama



