East Rutherford: Harga tiket perlawanan akhir Piala Dunia antara juara bertahan, Argentina dan Sepanyol terus melonjak, menghampiri AS$10,000 (kira-kira RM29,000) hanya 24 jam sebelum aksi di East Rutherford, New Jersey, awal pagi Isnin ini.
Harga tiket paling murah meningkat 34 peratus dalam tempoh tiga hari lalu, mencecah RM27,000, hari ini, menurut perkhidmatan pemantauan tiket, TicketData.com.
Selepas harga tiket paling murah jatuh kepada RM19,000 pada Isnin, purata harga bagi tempoh tiga hari kembali meningkat kepada RM22,000 menjelang pagi Jumaat.
Sebagai perbandingan, harga tiket paling murah ketika Argentina menewaskan England dalam aksi separuh akhir adalah RM9,000, manakala aksi Perancis menentang Sepanyol pula mencatat harga kurang daripada separuh jumlah berkenaan, iaitu RM3,800.
Harga tiket paling murah bagi perlawanan penentuan tempat ketiga antara Perancis dan England di Miami, hari ini adalah RM1,800 selepas menurun 50 peratus sepanjang tiga hari lalu.
Final di Stadium New York-New Jersey membabitkan dua kuasa besar bola sepak dunia akan menutup tirai Piala Dunia terbesar dalam sejarah, dengan Rumah Putih mengesahkan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan hadir.
Harga tiket paling murah bagi final itu pernah melonjak kepada RM39,000 pada Oktober sebelum jatuh serendah RM18,000 sebulan kemudian.
Ia kembali meningkat melepasi RM23,000 apabila kejohanan bermula pada 11 Jun dan mencecah RM35,000 pada 23 Jun, sebelum kembali menurun.
Sepanjang 102 perlawanan yang berlangsung di 16 bandar, harga median tiket paling murah adalah RM2,600.
© New Straits Times Press (M) Bhd




