Tindakan Gatell alih botol arak di podium kemenangan Hakim Danish raih pujian

Tindakan Gatell alih botol arak di podium kemenangan Hakim Danish raih pujian

KEJAYAAN pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menjuarai perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno pada Ahad bukan sahaja menjadi detik manis buat sukan permotoran negara, malah turut memberi kesan dan mencuri perhatian kerana satu tindakan penuh hormat daripada pengurus pasukannya, Jordi Gatell.

Ketika para pemenang bersedia meraikan kejayaan di podium Moto3, Gatell yang merupakan Pengurus Pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi dilihat segera mengalihkan botol arak yang diletakkan di posisi Hakim Danish.

Tindakan tersebut dibuat sebelum majlis penyampaian trofi bermula bagi memastikan tiada botol minuman beralkohol berada di tempat pelumba Muslim dari Malaysia itu berdiri.

Biarpun penggunaan champagne merupakan antara tradisi biasa dalam sambutan podium sukan permotoran dunia, Gatell jelas memahami sensitiviti agama dan prinsip yang dianuti Hakim Danish.

Apa yang menarik, tindakan tersebut dilakukan secara spontan tanpa perlu diminta atau diingatkan oleh mana-mana pihak.

Hakim Danish menjuarai perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno pada Ahad.

Hakim Danish menjuarai perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno pada Ahad.

Tindakan kecil itu membawa makna besar kerana ia mencerminkan rasa hormat terhadap agama, budaya dan maruah seorang atlet Muslim yang sedang mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Lebih mencuri perhatian, ketika sesi ‘champagne shower’ berlangsung beberapa minit kemudian, Hakim Danish dilihat meninggalkan podium, manakala Gatell turut beredar bersama pelumba negara itu.

Detik tersebut mendapat pujian peminat sukan permotoran, khususnya rakyat Malaysia yang melihat tindakan Gatell sebagai bukti bahawa nilai hormat mampu mengatasi perbezaan budaya dalam dunia sukan berprestasi tinggi.

Malah, sikap beliau yang sanggup mengetepikan kelaziman sambutan podium dan elemen komersial penaja memperlihatkan kepekaan tinggi seorang pengurus pasukan terhadap pegangan pelumbanya.

Kejayaan Hakim Danish itu turut menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk kembali menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di pentas Moto3 selepas kali terakhir dicapai Khairul Idham Pawi pada musim 2016.

Kemenangan berkenaan bukan sahaja diraikan sebagai pencapaian besar di litar, tetapi juga diingati melalui momen penuh hormat yang mengangkat nilai kefahaman, toleransi dan profesionalisme dalam sukan antarabangsa.

Scroll to Top