SERDANG – Orang ramai mengisi hujung minggu mereka dengan mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.
Bagaimanapun, District 3 nampaknya menjadi tumpuan ramai berbanding District 1 dan District 4 yang sinonim dengan dengan pameran dan teknologi pertanian serta penternakan.
Ini kerana District 3 menawarkan pengalaman yang lebih santai dan mesra keluarga menerusi pelbagai aktiviti untuk pengunjung, khususnya kanak-kanak.
Antara tarikan utama di District 3 ialah Kiddies Wonderland yang menjadi lokasi tumpuan keluarga sepanjang penganjuran MAHA 2026.
Ruang berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan hiburan yang membolehkan kanak-kanak menikmati pengalaman sambil mengenali dunia pertanian dalam suasana menyeronokkan.
Tidak cuma itu, District 3 menempatkan Astana Pavilion yang menghimpunkan pavilion negeri-negeri Malaysia bagi membolehkan pengunjung meneroka kepelbagaian produk, identiti, seni budaya, warisan dan tarikan setiap negeri.
Bagi melepaskan penat lelah selepas seharian meneroka MAHA 2026 yang besarnya dikatakan setara dengan keluasan 183 padang bola sepak, pengunjung juga boleh membasahkan tekak di ruang Santai dan Kopi @Chillax.
Sementara itu, District 2 juga tidak kurang hebatnya apabila kawasan tersebut menyediakan pameran konvensional yang menggabungkan elemen pendidikan, rekreasi, makanan dan pengalaman.
Antaranya ialah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Floating Market, Kampung Nelayan, Laman Agrofood Fisheries, Laman Agrinova, Laman Padi dan banyak lagi.
Secara keseluruhannya, MAHA 2026 yang berlangsung selama 10 hari dari 28 Ogos hingga 6 September, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu menjanjikan pelbagai aktiviti untuk dinikmati oleh orang pengunjung.