Tinggal gaji lima angka demi minat kuda

Tinggal gaji lima angka demi minat kuda

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Melaka: Hobi menunggang dan memelihara kuda tidak disia-siakan bekas juruteknik makmal, Aiman Shamshuddin.

Sebaliknya, Aiman, 39, memanfaatkan haiwan peliharaan untuk menjana pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan menaiki kereta kuda kepada orang ramai yang mahu bersiar di sekitar bandar ini, tepi pantai dan zoo.

Menariknya, pelanggan dapat menaiki kereta kuda berhias yang reka bentuknya diinspirasikan daripada kisah hikayat Cinderella dengan harga berpatutan iaitu RM10 untuk satu pusingan.

Menurut Aiman, idea itu tercetus daripada seorang rakannya di Terengganu dan dilaksanakan pada 2015 kerana menyedari tiada perkhidmatan serupa di sini ketika itu.

Bermula secara sepenuh masa kemudiannya menjadi sumber pendapatan tetap Aiman selepas dia nekad meninggalkan syarikat minyak dan gas, Petronas pada 2018.

“Sejak berusia sembilan tahun lagi, saya sudah didedahkan dengan kuda yang dibelikan ayah, tetapi saya mula pelihara sendiri sejak 2014.

“Kini saya ada 28 ekor yang ditempatkan di kandang dekat Bukit Rambai, hanya lapan daripadanya digunakan untuk perkhidmatan kereta kuda dan dilatih dari mula.

“Cabarannya adalah nak melatih supaya jinak bagi memudahkannya diuruskan oleh kakitangan dan tidak membahayakan pelanggan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Aiman berkata, sambutan dan maklum balas pelanggan sangat positif cuma dia tidak boleh memberi tumpuan kepada membawa pelanggan beriadah saja kerana hasil pendapatan itu tidak menentu.

Demi kelangsungan hidup, Aiman turut mengambil tempahan menggunakan kereta kuda miliknya untuk majlis perkahwinan dan sesi fotografi dengan caj berlainan.

Selain itu, dia turut menawarkan latihan memanah serta terapi untuk membantu anak Orang Kurang Upaya (OKU).

“Negeri ini memang tempat pelancongan namun ada ketikanya bermusim jadi saya kena bijak atur strategi.

“Biasanya cuti sekolah dan musim orang kahwin memang tak duduk diam tapi ada ketikanya kurang (permintaan).

“Waktu terluang, saya ambil tempahanbuat sesi latihan memanah berkuda dan terapi air, pasir serta kuda di Pantai Puteri mengikut kesesuaian anak OKU,” katanya yang pernah membawa beberapa selebriti antaranya Bella Astilah dan Sharifah Shahira menaiki kereta kudanya.

Ditanya perancangannya, Aiman belum terfikir untuk berhenti sebaliknya akan terus menawarkan perkhidmatan kereta kuda selagi ada permintaan.

“Jujurnya saya tak berasa menyesal atau berasa rugi pun berhenti kerja dulu walaupun gaji mencecah lima angka kerana minat dengan apa dilakukan sekarang.

“Lagipun, daripada minat itu mendatangkan hasil kerana jadi satu kerjaya seperti sekarang.

“Jadi teruskan saja dan anak perempuan saya iaitu yang sulung pun nampak minat. Sebagai bapa, saya tak halang malah sokong saja apa yang dia suka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd