TNB pamerkan kebangkitan dramatik, THT gah mara ke final Piala TNB 2023

TNB pamerkan kebangkitan dramatik, THT gah mara ke final Piala TNB 2023

BUKIT JALIL: Tenaga Nasional Berhad selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan Piala TNB apabila mencatatkan kemenangan ke atas Maybank dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 ketika aksi separuh akhir pertama pada Selasa.

Aksi sengit diteruskan oleh kedua-dua pasukan apabila Razie Abdul Rahim tidak perlu menunggu lama untuk meletakan Maybank di hadapan seawal minit kedua.

Maybank terus selesa apabila Razie sekali lagi meledak pada minit ke 22, disusuli gol ketiga Maybank menerusi Ashran Hamsani pada minit ke 42.

Bagaimanapun anak buah Nor Saiful Zaini mempamerkan kebangkitan pada tiga minit terakhir perlawanan, bermula dengan gol Azril Misron, disusuli dua gol Amirul Hanif Mamat untuk mengheret perlawanan ke penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 5-5 secara agregat.

TNB ternyata bersedia dengan situasi ini apabila kesemua pemainnya tidak menghadapi masalah untuk menyempurnakan pukulan penalti, manakala kesemua tiga pemain Maybank terdiri daripada Izham Azhar, Shamie Irfan Suhaimi dan Syawal Abd Razak gagal sekaligus TNB mara ke perlawanan akhir dengan keputusan 3-0 menerusi penalti shoot-out.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir membabitkan gergasi Pantai Timur, Terengganu Hockey Team (THT) menentang UiTM HA-KPT menyaksikan juara liga itu tidak menghadapi masalah untuk mengesahkan kemaraan ke perlawanan final setelah menang dengan keputusan agregat 8-2.

THT yang membawa bekalan selesa hasil kemenangan 5-1 ke atas pasukan universiti itu ketika aksi separuh akhir pertama di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu pada Selasa menguasai keseluruhan perlawanan sebentar tadi.

Skuad kendalian Seo Jongho berjaya meledak tiga gol, masing masing menerusi Jang Jong Hyun pada minit ke 14 menerusi pukulan sudut penalti, disusuli gol padang Shello Silverius pada minit ke 45, sebelum Faizal Saari melengkapkan malam gemilang THT dengan gol padang pada minit ke 56.

Satu-satunya gol saguhati pasukan UiTM HA-KPT dijaringkan oleh Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit ke 51.

UiTM HA-KPTakan bertemu dengan Maybank untuk perlawanan penentuan ketiga/keempat, manakala THT dan TNB akan berentap dalam perlawanan akhir yang dijadualkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.