Tok Gajah tundukkan Seladang di Ipoh

Tok Gajah tundukkan Seladang di Ipoh

SRI Pahang FC meneruskan rentak kemenangan di Stadium Perak selepas menundukkan tuan rumah 3-0 pada aksi Liga Super pada Khamis.

Perak FC yang cuba menebus kekalahan pada perlawanan Piala FA di tempat sendiri tempoh hari nyata terpaksa akur dengan kehebatan skuad Tok Gajah itu apabila terpaksa bertahan bermain 10 orang sehingga tamat perlawanan.

Minit awal perlawanan menyaksikan perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan mengatur gerak melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing.

Pelawat mendapat peluang pada minit ke-6 Kpah Sherman namun tandukannya tersasar ke sebelah kanan gawang.

Bagaimanapun import Sri Pahang FC berjaya meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-13 menewaskan kapten Perak FC, Bryan See untuk mendahului 1-0.

Perak FC cuba bangkit selepas itu menerusi percubaan Shafizi Iqmal namun rembatannya dari luar petak penalti sekadar melepasi palang gol Sri Pahang FC.

Pasukan pelawat kemudiannya mengatur serangan antaranya menerusi kapten pasukan, Sergio Aguero nemun tidak dapat melepasi perangkap ofsaid.

Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma Perak oleh Shafizi Iqmal tetapi sedikit tersasar di bahagian kiri gawang Sri Pahang FC.

Sri Pahang FC menambah derita Perak apabila seorang lagi import mereka Stefano Bruno berjaya menjaringkan gol selepas menyambut hantaran Kpah Sherman untuk gol kedua.

Berselang tiga minit kemudian, Perak FC kehilangan pemain pertahanan mereka apabila Nasrol Amri Kamarol Azhar dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Sergio Aguero pada minit ke-39.

Tersentak dengan insiden itu, ketua jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim membuat pertukaran pertama perlawanan dengan memasukkan Raja Imran Shah menggantikan penyerang, Christian Obiozor.

Perlawanan separuh masa pertama kekal memihak kepada Sri Pahang FC mengatasi tuan rumah dengan keputusan 2-0.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat menguasai perlawanan pada minit awal permainan untuk menambah jaringan mengambil kesempatan terhadap Perak FC yang bermain 10 orang.

Namun ketangkasan penjaga gawang Perak FC, Bryan See menyelamatkan tuan dari terus dibolosi.

Memasuki minit ke-56, pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.

Tidak lama selepas itu, pemain naturalisasi berkenaan dikeluarkan dengan diganti Zuhair Aizat Mohd Nazri.

Pasukan Sri Pahang FC hampir menambah jaringan menerusi pemain tengah, Nor Azam Azih namun tendangannya berjaya ditampan keluar Bryan See.

Pada minit ke-71, Perak FC membawa masuk pemain berpengalaman, Wan Zack Haikal menggantikan Hadi Fayyadh.

Gawang tuan rumah bocor lagi menerusi jaringan pemain gantian, Zuhair Aizat yang berjaya memperdaya Bryan See untuk gol ketiga Sri Pahang FC.

Tamat perlawanan menyaksikan Sri Pahang FC berjaya membawa pulang tiga mata berharga ke Kuantan selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Perak FC.