Tolak Kampung Baru Cina Tapak Warisan Dunia UNESCO: Hubungan UMNO-DAP tidak terjejas

Tolak Kampung Baru Cina Tapak Warisan Dunia UNESCO: Hubungan UMNO-DAP tidak terjejas

KUALA LUMPUR: Hubungan antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan tidak terjejas walaupun parti itu menolak cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO telah memberikan pendirian tersendiri dan sebagai rakan dalam kerajaan, ia mesti dihormati oleh rakan-rakan parti lain termasuk daripada DAP sendiri.

Malah katanya, cadangan itu bukan satu usaha yang mudah kerana perlu dibawa ke meja perundingan untuk dilaksanakan termasuk ke Kabinet dan Parlimen.

“Ia perlu perundingan dan dibawa ke Kabinet dan jika perlu ia dibawa ke peringkat Parlimen untuk dibahaskan.

“UMNO merasa ini tidak ada keperluan untuk mewujudkan Kampung Baru sebagai satu tapak UNESCO.

“Saya kira ini tidak akan menjejaskan hubungan. Tapi UMNO memberi pendirian, jadi sebagai rakan dalam parti (Kerajaan Perpaduan) kita mesti saling menghormati pandangan rakan-rakan dalam parti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendirian UMNO yang menolak cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, walaupun tujuannya untuk memperkasakan sektor pelancongan tetapi parti itu berpandangan implikasi terhadap cadangan terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung.

Sebelum ini, Kor Ming selaku Menteri mewakili DAP dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Pada Jun tahun lalu, beliau juga mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. – UTUSAN

Scroll to Top