lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: McDonald’s Malaysia kembali membawa kegembiraan kepada peminat setianya dengan Burger Prosperity yang ikonik.
Diperkenalkan pada 1994 dan dicipta di Malaysia, burger dengan sos lada hitam khas ini menjadi tradisi dinanti setiap tahun rakyat Malaysia.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, bagi meraikan kemunculan semula burger kegemaran ramai itu, McDonald’s Malaysia melancarkan kempen ‘Prosperity Kembali, Lebih Bererti’.
“Burger Prosperity sudah menjadi satu tradisi yang diraikan rakyat Malaysia selama 30 tahun ini.
“Ia bukan sekadar hidangan, ia melambangkan harapan, kebersamaan dan kenangan yang dikongsi bersama.
“Setiap tahun, rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang, keluarga dan rakan-rakan akan bertemu bagi berkongsi momen istimewa sambil menikmati Burger Prosperity,” katanya pada Majlis Prosperity Di Atas Awan di Menara Kuala Lumpur, di sini, Isnin lalu.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.
Lebih istimewa, Melati berkata, tahun ini McDonald’s Malaysia memanfaatkan tradisi itu untuk menyantuni kanak-kanak yang memerlukan menerusi badan amal, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC).
Katanya, menerusi kempen ‘Prosperity Kembali, Lebih Bererti’, McDonald’s Malaysia akan menyumbang 20 sen daripada setiap pembelian set Burger Prosperity, bermula 20 November hingga 31 Disember 2025 untuk menyokong program-program RMHC.
“Ini termasuk Rumah Ronald McDonald yang menyediakan penginapan kepada keluarga pesakit pediatrik yang mendapatkan rawatan, Gift of Smile (pembedahan sumbing bibir dan lelangit), Back-to-School (kelengkapan sekolah untuk kanak-kanak kurang berkemampuan), serta Sensory Rooms (ruang terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas).
“Kami berbesar hati untuk bersama-sama rakyat Malaysia yang menggemari Burger Prosperity untuk menyumbang kembali kepada komuniti.
“Semasa anda menikmati set Prosperity, anda juga membantu RMHC dan mengubah kehidupan kanak-kanak yang memerlukan di seluruh Malaysia,” katanya.
Pelancaran kempen di Menara Kuala Lumpur membuka tirai musim penuh keceriaan dan kebaikan di seluruh negara.
Sebelum acara bermula, kanak-kanak dari Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dibawa menikmati pengalaman istimewa dan mengujakan di mercu tanda kebangsaan itu.
Dengan kemunculan semula Prosperity Burger, Curly Fries dan McFizz di restoran McDonald’s seluruh negara, McDonald’s Malaysia mengajak semua untuk berkongsi bukan sekadar hidangan, tetapi juga nilai kesyukuran kerana ‘prosperity’ lebih indah apabila dinikmati bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd



