Trafik keluar ibu kota sesak

Trafik keluar ibu kota sesak

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya menuju keluar ibu kota sesak berikutan pertambahan kenderaan sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.

Tinjauan aliran trafik setakat 12 tengah hari mendapati, terdapat peningkatan jumlah kenderaan di kebanyakan lebuh raya utama.

Kesesakan berlaku di kawasan Gombak iaitu sebelum dan selepas Plaza Tol Gombak.

Berdasarkan laporan di akaun aplikasi sosial X @LPTTrafik memaklumkan trafik sesak sejauh enam kilometer di Plaza Tol Gombak sehingga Kilometer (KM)23.9.

Trafik sesak dan perlahan juga dilaporkan berlaku sejauh 10 kilometer dari Gombak ke Genting Sempah serta Genting Sempah ke Bukit Tinggi.

Selain itu, Plus Malaysia Berhad (Plus) pula memaklumkan trafik perlahan arah utara dari Hospital Sungai Buloh ke Rawang dan dari Rawang ke Sungai Buaya.

Keadaan sama juga dilaporkan berlaku di laluan menuju ke selatan dari Seremban ke Senawang, Negeri Sembilan.

Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan bermula pada 24 hingga 28 Januari sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada 29 Januari ini.

LLM dalam kenyataan memaklumkan, susulan peningkatan itu, sebanyak 2.6 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top