Yangon: Pemaju sebuah kondominium di Myanmar yang runtuh dan mengorbankan lebih 200 orang semasa gempa bumi dahsyat pada 2025 dijatuhi hukuman penjara lima tahun, menurut media tempatan dan seorang individu yang arif mengenai kes itu.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 2,700 orang pada Mac 2025 itu memberi tamparan hebat kepada negara yang masih bergelut dengan perang saudara susulan rampasan kuasa tentera pada 2021.
Sebahagian kondominium Sky Villa di bandar Mandalay yang menjadi lokasi paling teruk terjejas runtuh dan mengorbankan 206 orang, menurut pengurus bangunan pangsapuri mewah berkenaan.
Mayat terakhir berjaya ditemukan di lokasi kejadian pada September 2025.
Naing Tun Lin, pemilik firma pembinaan yang membina Sky Villa dijatuhi hukuman penjara lima tahun dengan kerja berat pada 23 Jun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian akibat kecuaian, lapor saluran berita Eleven Media pada 6 Julai dengan memetik pegawai maklumat mahkamah.
Seorang individu yang mempunyai pengetahuan mengenai kes itu namun enggan dikenali atas faktor keselamatan mengesahkan hukuman berkenaan.
Permintaan AFP untuk mendapatkan komen daripada jurucakap kerajaan mahkamah di wilayah Mandalay serta syarikat pembinaan NTL Construction sehingga pagi 7 Julai masih belum menerima sebarang maklum balas.
Naing didakwa pada Februari lalu namun, pada peringkat awal dibenarkan diikat jamin, menurut laporan Eleven Media pada 6 Julai.
Bagaimanapun, jaminannya kemudian ditarik balik sebelum dia ditahan pada Mac lalu, lapor saluran berita itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




