Tragedi mandi sungai, dua kanak-kanak lemas

Tragedi mandi sungai, dua kanak-kanak lemas

am@hmetro.com.my

Kangar: Dua kanak-kanak lemas selepas mandi di sebuah sungai di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Mangsa ialah Iskandar Zulkarnain Mohd Faizal, 8, dan rakannya, Muhammad Haikal Hakim Mohd Yuhanis, 10, yang kedua-duanya berasal dari kampung berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 petang berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Perlis dikejarkan ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati, pada mulanya terdapat lima kanak-kanak yang mandi di sungai namun tiga daripadanya diselamatkan orang awam dan seorang daripada mereka masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Bagaimanapun dua mangsa, (Iskandar Zulkarnain dan Muhammad Haikal Hakim) gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar

“Operasi mencari dan menyelamat diketuai Penguasa Bomba Kanan II Abdul Rahim Yusof bersama Penguasa Bomba Kanan I Marshahadi Mehad dan operasi tamat pada jam 5.36 petang.

“Kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top