kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Peningkatan hutang isi rumah Malaysia kepada RM1.73 trilion setakat Mac 2026 masih berada pada tahap terkawal, namun trend kenaikan berterusan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan risiko kepada ekonomi dan kestabilan kewangan negara.
Pensyarah Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat, Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata, walaupun nisbah hutang kepada KDNK sedikit menurun berbanding 84.7 peratus pada tahun lalu, jumlah keseluruhan hutang isi rumah terus meningkat saban tahun.
Katanya, hutang isi rumah meningkat daripada RM1.53 trilion pada 2023 kepada RM1.63 trilion pada 2024, sebelum mencecah RM1.67 trilion pada 2025 dan meningkat lagi kepada RM1.73 trilion pada Mac tahun ini.
“Secara keseluruhannya, kedudukan hutang isi rumah masih boleh dianggap terkawal seiring pertumbuhan ekonomi dan pertambahan populasi, namun ia wajar diberi perhatian serius memandangkan jumlahnya sudah berada pada paras yang tinggi.
“Komitmen bayaran balik hutang yang tinggi turut mengehadkan pendapatan boleh guna isi rumah untuk tujuan simpanan dan perbelanjaan lain, malah di rantau Asia Tenggara, Malaysia juga antara negara yang mencatat nisbah hutang isi rumah tertinggi sama seperti Thailand,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, pinjaman perumahan kekal menjadi penyumbang terbesar kepada hutang isi rumah iaitu sebanyak 63 peratus daripada keseluruhan pembiayaan, diikuti pinjaman kenderaan (15 peratus), pembiayaan peribadi (8.0 peratus), pinjaman harta bukan kediaman (6.0 peratus), kad kredit (4.0 peratus) dan pembelian sekuriti (4.0 peratus).
Katanya, peningkatan penggunaan kemudahan digital termasuk skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) turut menyumbang kepada pertumbuhan hutang isi rumah apabila nilai pembiayaan itu meningkat kepada RM4.9 bilion setakat 31 Disember 2025.
“Faktor peningkatan hutang isi rumah bukan hanya disebabkan kos sara hidup yang semakin tinggi, malah turut dipengaruhi perubahan corak perbelanjaan pengguna serta kemudahan mendapatkan pembiayaan secara digital,” katanya.
Juliana berkata, jika trend peningkatan hutang terus berlaku tanpa disokong pertumbuhan pendapatan, ia boleh menjejaskan kuasa beli rakyat dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, pengurangan perbelanjaan domestik akan memberi kesan kepada aktiviti perniagaan, seterusnya mengehadkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kadar pengangguran.
“Isi rumah yang mempunyai komitmen hutang tinggi juga lebih mudah terdedah kepada risiko kenaikan inflasi, kadar faedah serta ketidaktentuan ekonomi global yang boleh meningkatkan risiko kegagalan pembayaran balik.
“Walaupun hutang isi rumah masih berada pada tahap yang boleh diurus, peningkatan berterusan perlu dikawal melalui pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin bagi memastikan kestabilan sistem kewangan negara,” katanya.
Mengulas langkah yang perlu diambil, beliau berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat melalui penciptaan pekerjaan berdaya saing, peningkatan produktiviti serta memperkukuh ekonomi domestik di samping mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik, skim sewa beli dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), selain memastikan pelaksanaan projek dipantau supaya manfaatnya benar-benar dinikmati rakyat.
Beliau turut mencadangkan institusi kewangan memperketat penilaian pemberian kredit berdasarkan kemampuan sebenar peminjam, manakala isi rumah perlu lebih berdisiplin dalam mengurus kewangan, mengutamakan simpanan kecemasan serta mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan hutang bagi pembelian aset.
© New Straits Times Press (M) Bhd




