WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan konflik negaranya dengan Iran sebagai ‘gangguan kecil’, ketika sokongan rakyat terhadap perang itu dilaporkan semakin merosot.
Bercakap pada satu acara di Las Vegas, Nevada, Trump mempertahankan tindakan pentadbirannya sambil mempromosikan dasar ekonomi termasuk cadangan ‘tiada cukai ke atas tip’ yang diperkenalkan dalam reformasi cukai sebelum ini.
“Kita mempunyai ekonomi terbaik dalam sejarah negara pada penggal pertama saya. Dan sekarang kita sedang melonjak lebih tinggi… walaupun ada gangguan kecil kita ke negara Iran yang indah,” katanya kepada penyokong.
Beliau turut menegaskan tindakan ketenteraan terhadap Iran adalah perlu bagi mengelakkan ancaman lebih besar, khususnya berkaitan potensi nuklear negara itu.
“Tetapi kita terpaksa melakukannya, jika tidak perkara buruk boleh berlaku, perkara yang sangat buruk,” katanya.
Namun, kenyataan itu hadir ketika sentimen awam di AS menunjukkan penolakan yang semakin ketara terhadap konflik tersebut.
Tinjauan oleh Ipsos mendapati 51 peratus responden berpendapat perang dengan Iran tidak berbaloi dengan kos yang ditanggung, manakala hanya 24 peratus menyokong sebaliknya.
Satu lagi tinjauan oleh Quinnipiac University menunjukkan 65 peratus pengundi menyalahkan Trump atas kenaikan harga bahan api, susulan gangguan bekalan melalui Selat Hormuz sejak konflik bermula.
Tinjauan sama turut mendapati hanya 36 peratus pengundi menyokong cara Trump mengendalikan isu Iran, berbanding 58 peratus yang tidak berpuas hati.
Konflik di Asia Barat yang melibatkan AS, Israel dan Iran sejak akhir Februari lalu telah memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap ekonomi domestik AS.
Penganalisis berpandangan kenyataan Trump yang meremehkan konflik tersebut berisiko menimbulkan reaksi negatif, khususnya dalam kalangan rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.- AFP



