WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengulangi desakannya agar negeri New Mexico ditukar nama kepada New America serta-merta, hanya beberapa hari menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
“Kita bukannya Mexico, kita adalah Amerika Syarikat (AS)!” hujah Trump.
Beliau mengemukakan cadangan nama baharu itu sebagai langkah untuk merangsang ekonomi dan kebudayaan, sambil mendakwa bahawa nilai hartanah serta pendapatan penduduk akan meningkat seiring dengan semangat patriotisme tempatan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Beliau turut mengaitkan cadangan tersebut dengan isu integriti pilihan raya dengan mendakwa langkah itu mungkin dapat menjadikan pilihan raya kotor yang sering dikaitkan dengan New Mexico kembali menjadi bersih.
Bulan lalu, Trump memuat naik imej berunsur kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan New Mexico dengan nama baharu.
Tindakan itu seiring dengan dorongan penjenamaan semula lain yang pernah dicadangkannya.
Ia adalah seperti mengubah nama Tasik Ontario kepada Tasik America dan Teluk Mexico kepada Teluk America.
Imej yang dimuat naik memaparkan peta negeri di barat daya AS itu dengan perkataan Mexico dipangkah merah dan digantikan dengan America.
Kira-kira sejam kemudian, pemimpin berusia 80 tahun itu memuat naik video AI yang menunjukkan beliau menampal pelekat America pada papan tanda sempadan kepada ‘Welcome to New Mexico’ sebelum menari tarian aksi dua penumbuk.
Menyanggah cadangan itu, Gabenor New Mexico, Michelle Lujan Grisham menegaskan bahawa identiti dan nama negeri berkenaan tidak perlu dipertikaikan memandangkan sejarahnya bermula lebih awal sebelum wujudnya AS.
Beliau menyifatkan hantaran berkenaan sebagai usaha mengalih perhatian daripada isu kenaikan harga barang yang berpunca daripada krisis perang Iran.
Meskipun retorik itu menimbulkan perdebatan, Presiden AS sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menukar nama mana-mana negeri secara bersendirian.
Sebarang cadangan perubahan nama mesti dibuat dari dalam negeri itu sendiri memandangkan namanya tertulis secara rasmi dalam Perlembagaan negeri berkenaan.
Bulan lalu, pemimpin Parti Demokrat turut mengkritik keras tindakan presiden itu berikutan cadangan pertukaran nama yang dikemukakannya. – AGENSI




