TuJu gagal, kerajaan digesa cari pengganti sementara – Guan Eng

TuJu gagal, kerajaan digesa cari pengganti sementara – Guan Eng

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mengadakan tender terbuka bagi membolehkan anak muda tempatan membangunkan aplikasi navigasi jalan raya yang lebih berkesan dan memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara.

Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan perlu mencari pengganti sementara kepada aplikasi navigasi TuJu yang kini dinyahaktifkan selepas pelaksanaannya didakwa gagal memenuhi keperluan 1.7 juta penjawat awam yang diarahkan beralih daripada Waze.

“Saya telah menerima aduan daripada sebahagian daripada 1.7 juta penjawat awam yang benar-benar keliru tentang aplikasi navigasi jalan raya yang perlu digunakan serta hala tuju seterusnya susulan keputusan kerajaan melarang penggunaan Waze dan menggantikannya dengan TuJu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan serta data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyarankan seluruh rakyat Malaysia menghentikan kebergantungan terhadap aplikasi tersebut demi menjamin perlindungan data peribadi yang lebih kukuh.

Mengulas lanjut Guan Eng menjelaskan, kekeliruan itu berpunca daripada kenyataan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad bahawa TuJu pada asalnya dibangunkan untuk menambah baik perkhidmatan di lebuh raya bertol.

Hasni berkata, aplikasi tersebut bukan direka untuk bersaing secara langsung dengan Waze yang menyediakan panduan navigasi bagi pelbagai jenis jalan raya.

Sebaliknya, TuJu lebih tertumpu kepada penyediaan maklumat trafik terkini, lokasi kawasan rehat, kamera penguatkuasaan dan nombor untuk dihubungi bagi mendapatkan bantuan kecemasan di lebuh raya bertol.

Menurut Guan Eng, Hasni turut mendedahkan bahawa peluasan liputan TuJu ke jalan persekutuan, jalan perbandaran dan jalan kampung mungkin mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun.

“Dalam erti kata lain, TuJu masih belum bersedia untuk digunakan oleh 1.7 juta penjawat awam pada masa ini dan mungkin hanya akan bersedia pada tahun 2042!” katanya.

Guan Eng turut mempersoalkan keputusan kerajaan mengarahkan penjawat awam beralih kepada TuJu sedangkan aplikasi itu didakwa belum mempunyai keupayaan menyeluruh seperti Waze.

Sehubungan itu, beliau menggesa Anwar untuk menyusun semula usaha mencari alternatif kepada Waze dan menghentikan penggunaan TuJu yang didakwanya gagal memenuhi keperluan pengguna.

“Apakah yang perlu dilakukan oleh penjawat awam sekarang untuk mencari arah perjalanan apabila mereka tidak boleh menggunakan Waze mahupun bergantung pada TuJu yang kini telah dinyahaktifkan?” katanya.

Scroll to Top