am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tukang paip kehilangan wang simpanan berjumlah RM142,720 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham untung berganda di TikTok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berumur 54 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan selepas melihatnya pada 31 Oktober lalu.
Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan seorang lelaki dan dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp serta diajar melabur saham dan diminta memuat turun aplikasi pelaburan.
“Dalam aplikasi itu, mangsa mengisi butiran peribadi dan perbankan serta dijanjikan pulangan 400 peratus selepas tempoh matang tiga bulan.
“Kerana percaya, dia melakukan pindahan wang berperingkat ke enam akaun berbeza dengan nilai RM142,720,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, 16 transaksi itu dilakukannya antara 4 November hingga 21 Disember, dan apabila cuba mengeluarkan keuntungan, dia diminta membayar RM47,000 lagi, kononnya sebagai cukai.
“Mangsa percaya telah ditipu setelah gagal mendapat pulangan yang dijanjikan.
“Siasatan awal mendapati lima daripada enam akaun yang digunakan mempunyai 83 rekod laporan polis melibatkan kes penipuan pelaburan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




