am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri : Tindakan seorang pemandu Perodua Axia berwarna jingga yang memandu secara melawan arus, ketika kesesakan jalan raya membawa padah apabila kenderaannya ‘dihimpit’ dua lori.
Menerusi dua video tular di media sosial berdurasi enam saat dan 18 saat itu, kejadian dipercayai berlaku di Gelang Patah.
Dalam rakaman itu, pemandu kereta terbabit ‘menyelit’ di laluan motosikal iaitu di tengah antara kereta yang berhenti akibat kesesakan lalu lintas.
Tidak lama kemudian, video lain memaparkan kereta terbabit yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dibahagian hadapan, dengan pemandu di dalamnya, tidak bergerak dan dihimpit di antara dua lori.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan kejadian berlaku di Kilometer 4, Jalan Gelang Patah – Ulu Choh arah Kampung Ulu Pulai di sini, kira-kira 9 pagi semalam.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek memandu secara melawan arus sejauh 500 meter kerana tersalah masuk lorong untuk ke stesen minyak berhampiran.
“Kereta itu juga terlanggar sebuah Toyota Vios sebelum terhimpit di antara dua lori.
“Suspek lelaki tempatan berumur 26 tahun tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, dua jam selepas kejadian.
“Kedua-dua pemandu lori diminta tampil untuk membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




