KUALA PILAH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Pilah menafikan dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam cabang itu sehingga ada anggotanya mahu menolak calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Cabangnya, Ts Ismail Muhamad Nor berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah yang sengaja dimainkan pihak tertentu bagi mengelirukan pengundi menjelang hari pengundian.
Menurut beliau, pihaknya mengecam tindakan memasang kain rentang yang didakwa membawa mesej seolah-olah anggota PKR Cabang Kuala Pilah berpecah dan tidak menyokong calon PH di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Pilah.
“Sejak awal lagi, PKR Cabang Kuala Pilah telah memberikan komitmen tinggi terhadap persediaan jentera pilihan raya dan akur dengan keputusan parti dalam menamakan calon.
“Kami yakin dengan strategi kemenangan yang disusun parti dan akan terus menggerakkan jentera bagi memastikan kemenangan calon-calon PH,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan memasang kain rentang fitnah bersama bahan kempen calon PH adalah tindakan terdesak pihak lawan yang mula menyedari gelombang merah akan melanda bukan sahaja tiga tetapi lima DUN di Parlimen Kuala Pilah ini.
Hakikat menurut beliau, kempen mendasar yang dirangka oleh PH Kuala Pilah dan PKR Cabang Kuala Pilah berjaya menarik kelompok sasaran dengan penekanan manifesto dan kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan sepanjang lapan tahun yang lalu.
“Justeru kami PKR Cabang Kuala Pilah berikrar akan berkempen sebaiknya hingga tempoh jam terakhir bagi mendapatkan undi maksimum daripada semua anggota untuk memenangkan semua calon PH di DUN Seri Menanti, Juasseh, Pilah, Senaling dan Johol bagi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kekal di tangan HARAPAN,” katanya.



