Tunjuk perasaan menentang undang-undang pertanian baru di India

New Delhi: Pihak berkuasa India hari ini bertindak memutuskan bekalan elektrik dan air ke kem tunjuk perasaan petani serta mengarahkan polis meningkatkan kawalan susulan demonstrasi bertukar ganas di ibu negara.

Bagaimanapun, ratusan orang lagi tiba dengan membawa traktor bagi memperkuatkan tunjuk perasaan menentang undang-undang pertanian baharu.

Dengan ribuan tentera tambahan dikerah bertugas, kerajaan dan pemimpin petani memberi isyarat akan bersemuka dan meneruskan perjuangan yang sudah berlarutan selama dua bulan itu.

Tiga hari selepas pertempuran di ibu negara yang menyebabkan seorang terkorban dan hampir 400 polis cedera, pihak berkuasa meningkatkan tekanan terhadap kem penunjuk perasaan di pinggir New Delhi di mana puluhan ribu petani berkumpul.

Seorang petani, Bhagwant Singh, 53, yang ditemui di kem itu, berkata mereka tiada pilihan lain kecuali berjuang habis-habisan.

“Ketika kita tidak memiliki tanah, apa lagi yang tinggal, kita tidak dapat mengusahakan tanaman, kami akan mati.

“Sekurang-kurangnya jika kami mati di sini ketika protes, kami mati berperang menegakkan keadilan. Kami akan terus berjuang dan jika perlu, mati demi hak rakyat negara ini,” katanya.

Pihak berkuasa memotong bekalan elektrik dan air di kem Ghazipur yang terletak di satu jalan utama ke Delhi.

Sebahagian besar polis turut menuju ke kem terbesar di Singhu yang terletak jalan raya lain menghala ke bandar, dengan penghalang konkrit baru dipasang.

Sementara itu, petani membatalkan perancangan untuk berkumpul di Parlimen India Isnin ini ketika Perdana Menteri, Narendra Modi, menggariskan pelan perbelanjaan tahunan tetapi menegaskan akan terus tinggal di kem sebagai tanda protes.

Selepas pihak berkuasa memotong bekalan air dan elektrik, pemimpin pembangkang membawa penjana kuasa dan mengatur penghantaran lori tangki membawa iar.

Walaupun ada penunjuk perasaan meninggalkan kem berikutan keganasan Selasa lalu, beratus-ratus lagi termasuk wanita tiba pada malam hari berikutnya dengan menaiki traktor.

Ada yang mengatakan mereka terpengaruh selepas menonton video menyentuh perasaan dimuat naik oleh Rakesh Tikait, seorang daripada puluhan pemimpin petani yang kini menghadapi disiasat polis berhubung rusuhan dan serangan di Red Fort.

Pertanian sudah lama dipolitikkan di India, di mana hampir 70 peratus daripada 1.3 bilion penduduknya terbabit dalam sektor itu.

Sumber: AFP

Scroll to Top