PEMANGKU Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berprestij itu.
Kejayaan baginda turut dilengkapkan apabila kuda milik Tunku Mahkota Ismail, Poliya Cara Pálida, dinobatkan sebagai Kuda Terbaik Kejohanan (Best Playing Pony), sekali gus mengiringi kejayaan Royal Johor menjulang kejuaraan edisi sulung itu.
Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan menyempurnakan penyampaian trofi kejohanan, pingat serta anugerah MVP pada majlis penyampaian hadiah sejurus tamat perlawanan akhir di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi di sini, hari ini.
Pengiktirafan sebagai MVP menjadi kemuncak penampilan cemerlang Tunku Mahkota Ismail yang mengemudi Royal Johor menewaskan Temasek 10-7 pada aksi final, dengan baginda menyumbang enam daripada keseluruhan 10 gol pasukan.
Pencapaian itu lebih bermakna apabila Tunku Mahkota Ismail tetap mempamerkan aksi bertenaga meskipun masih dibelenggu kecederaan tangan.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Royal Johor muncul juara edisi sulung JSCPT, manakala Temasek menamatkan saingan sebagai naib juara dan Korea Polo Club menduduki tempat ketiga.
Majlis penyampaian hadiah turut dihadiri Setiausaha Kelab Polo Diraja Johor David Keyte.
Perlawanan akhir itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan tetamu kehormat.
JSCPT 2026 yang berlangsung dari 1 hingga 6 Septemebr merupakan kejohanan berstatus 22-gol, sekali gus mencatat sejarah sebagai pertandingan polo dengan handikap tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia setakat ini.
Penganjuran kejohanan itu berteraskan visi bersama Tunku Mahkota Ismail dan Polito Pieres dalam usaha meletakkan Johor sebagai antara destinasi utama dalam litar polo antarabangsa. – Bernama
