Turut sasar M40! Manifesto PH tak hanya tumpu golongan B40 -Aminuddin

Turut sasar M40! Manifesto PH tak hanya tumpu golongan B40 -Aminuddin

Pakatan Harapan (PH) menegaskan manifesto yang ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada golongan B40, malah turut merangkumi keperluan golongan M40.

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu diambil bagi memastikan lebih ramai rakyat Negeri Sembilan dapat menikmati manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dirancang kerajaan negeri.

Inisiatif diperluas kepada golongan M40

Menurut beliau, antara inisiatif yang akan diperluaskan kepada golongan M40 ialah bantuan dan kemudahan dalam sektor pendidikan.

Ujarnya, pendekatan tersebut penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Negeri Sembilan untuk menikmati kemudahan yang disediakan tanpa mengira kelompok pendapatan.

“Kalau dahulu bantuan lebih tertumpu kepada golongan B40, kali ini kita turut menjaga M40 supaya pemberian yang disediakan lebih bermakna kepada sebahagian besar rakyat Negeri Sembilan.
“Dalam aspek pendidikan misalnya, peluang dan kemudahan akan dibuka dengan lebih luas supaya lebih ramai anak-anak dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan mesra bersama masyarakat di Ladang Sengkang, Selasa.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan menyatakan sepanjang tempoh berkempen, calon dan jentera parti perlu menerangkan manifesto kepada rakyat supaya mereka memahami setiap tawaran yang dikemukakan. Beliau turut menegaskan PH mempunyai rekod melaksanakan pelbagai janji kepada rakyat menerusi manifesto sebelum ini.

“Kita bukan hanya bercakap, tetapi telah banyak melaksanakan perkara yang dijanjikan. Tanggungjawab kali ini lebih berat, namun saya yakin ia mampu dilaksanakan berdasarkan pengalaman dan kesungguhan yang telah ditunjukkan sebelum ini,” katanya.

Seru semua parti berkempen cara sihat

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua parti dan calon supaya berkempen secara matang serta mengelakkan fitnah, politik perkauman dan eksploitasi isu agama yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kita berkempen dan kita pernah berkawan. Kita pernah bertanding bersama. Kita pernah berjumpa. Dan saya rasa tidak perlu untuk berkempen secara kasar, memfitnah dengan perkara yang bukan bukan.
“Tidak perlulah menggunakan isu agama dan perkauman sehingga menambah keretakan dalam masyarakat yang hidup bersatu padu di Negeri Sembilan,” katanya.

 

Mengulas lawatan ke Ladang Sengkang, beliau menjelaskan penduduk lebih banyak membangkitkan isu keperluan asas seperti masalah longkang, air memasuki rumah dan bumbung bocor yang memerlukan tindakan segera.

Terdahulu, PH melancarkan manifesto bertemakan ‘Kekal Harapan’ yang menggariskan 10 komitmen utama termasuk mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Sumber: Sinar Harian 

Scroll to Top