am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kawat duri jenis Concertina Wire (CW) dibina sekitar pangkalan haram Abe Yie, Rantau Panjang di sini, dirosakkan beberapa kali oleh pihak dipercayai ada kaitan aktiviti penyeludupan di sempadan.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, keadaan itu menyebabkan kawat duri di lokasi itu tidak dapat dibaiki kerana ia memerlukan kos yang tinggi.
Susulan itu katanya, lokasi itu menjadi lokasi aktiviti rentas sempadan secara haram.
“Dalam operasi op taring wawasan Kelantan dilakukan Batalion 9 PGA di pangkalan haram Abe Yie jam 6 petang kelmarin, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan.
“Ketika anggota kami membuat pemantauan, mereka melihat dua lelaki sedang menaiki perahu dari arah Thailand menghampiri tebing pangkalan haram negara ini.
“Menyedari kehadiran pihak polis, suspek bertindak melarikan diri menuju ke arah tebing negara Thailand manakala lelaki berusia 29 tahun berjaya diberkas,” katanya di sini, tadi.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lelaki itu memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
Menurutnya, lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.
“Hasil pemantauan mendapati pangkalan haram Abe Yie masih aktif digunakan sebagai laluan rentas sempadan oleh individu yang tidak mahu melalui pintu masuk yang sah.
“Aktiviti rentas sempadan secara tidak sah berpotensi mengancam keselamatan negara serta boleh dieksploitasi untuk kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




