firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas kapten Harimau Malaya, Datuk Dollah Salleh menyifatkan legenda bola sepak England, Kevin Keegan sebagai seorang pemain yang memiliki tahap profesionalisme cukup tinggi sehingga menjadi contoh terbaik buat pemain muda ketika itu.
Keegan yang meninggal dunia pada Isnin pada usia 75 tahun selepas bertarung dengan penyakit kanser bukan sahaja dikenang sebagai bintang dunia, malah meninggalkan impak besar kepada Dollah ketika mereka bersama Harimau Malaya pada Kejohanan Pestabola Merdeka 1984.
Menurut Dollah, antara perkara paling diingatinya adalah disiplin dan sikap profesional Keegan setiap kali sesi latihan, sesuatu yang jarang dilihat dalam kalangan pemain ketika itu.
“Semasa latihan dia membawa satu beg besar berisi enam atau tujuh pasang but. Kami semua terkejut kerana setiap pemain hanya mempunyai sepasang but sahaja. Dari situ kami dapat melihat tahap profesionalisme yang dimilikinya.
“Saya memang gemar melihat dia beraksi bersama England. Dia pantas, memiliki kemahiran tinggi dan sentiasa memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan,” katanya.
Dollah yang ketika itu baru berusia 21 tahun berkata, peluang beraksi di bawah bimbingan bekas kapten England itu menjadi antara pengalaman paling berharga dalam kariernya.
Menurutnya, Keegan ketika itu berada pada kelas tersendiri dan boleh diibaratkan seperti Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo pada era moden.
“Saya sangat bangga dan berbesar hati dapat bermain di bawah bimbingan Keegan. Ketika itu beliau baru bersara daripada bola sepak divisyen utama England dan sedang bersiap sedia untuk memulakan kerjaya kejurulatihan.
“Saya mengalami kecederaan pada awal kejohanan, jadi tidak banyak peluang untuk berinteraksi dengannya kerana sedang menjalani proses pemulihan kecederaan buku lali.
“Saya kembali beraksi ketika menentang China B dalam perlawanan terakhir kumpulan dan beliau memuji prestasi saya. Dia tidak menjangka saya mampu bermain dengan baik.
“Pada waktu yang sama saya turut menerima panggilan pertama menyertai skuad kebangsaan. Beliau mengucapkan tahniah dan memberi semangat kepada saya supaya terus bekerja keras,” katanya.
Dollah berkata, Keegan turut melayan barisan pemain Harimau Malaya yang ketika itu sebahagian besarnya dibarisi pemain bawah 21 tahun dengan penuh kesabaran dan sentiasa memberi tunjuk ajar.
“Ketika itu kami semua masih muda dan baru hendak membina karier dalam bola sepak. Cara Keegan melayan kami cukup baik dan beliau banyak membimbing pemain-pemain muda.
“Dia adalah pemain bertaraf dunia ketika itu, sama seperti Messi dan Ronaldo pada hari ini. Saya memang mengaguminya kerana cara permainannya,” katanya.
Pada 1984, Keegan yang baru bersara pada usia 33 tahun menerima tawaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bernilai RM150,000 untuk membimbing serta beraksi bersama Harimau Malaya pada Kejohanan Pestabola Merdeka.
Beliau meledak dua gol ketika Malaysia menewaskan Pakistan 2-0 dalam aksi pembukaan sebelum skuad negara turut menewaskan Algeria Bawah 20 Tahun 2-0, seri 1-1 dengan Primera B XI dan China B, selain hanya tewas 0-3 kepada Korea Selatan Bawah 23 Tahun.
Keegan yang memenangi Ballon d’Or pada 1978 dan 1979 serta terkenal dengan gelaran “Mighty Mouse” ketika beraksi bersama Hamburger SV kemudian meneruskan karier sebagai pengurus dengan membimbing Newcastle United, Fulham, England dan Manchester City.
© New Straits Times Press (M) Bhd




