am@hmetro.com.my
Puchong: Pempengaruh yang juga suami kepada penyanyi, Shila Amzah, Ubai mendedahkan dia akan melakukan pekerjaan p-hailing dengan menghantar barang pesanan pelanggan apabila berasa bosan di pejabat.
Ubai atau nama sebenarnya Ubaidillah Mohd Zulkefli, 28, berkata, aktiviti p-hailing itu dilakukan secara santai untuk mengisi masa lapang serta berinteraksi dengan orang ramai.
“Saya rasa ramai orang yang kurang faham kerja ‘freelance’ hingga mereka sering bertanya saya kerja apa kerana sekejap beli itu dan beli ini. Macam semalam (kelmarin), saya ada bawa Grab.
“Kalau bosan, saya memang akan bawa Grab. Lagipun, saya baru beli motosikal baharu tapi nak pergi menunggang jauh tak boleh. Jadi, saya cakaplah (pada Shila) nak bawa Grab.
“Kadang-kadang bila kerja sendiri ini, kita menghadap komputer di pejabat sampai rasa bosan. Jadi esoknya, saya ambil cuti dan bawa e-hailing sebab nak jumpa dan berbual dengan orang,” katanya.
Ubai berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama, di sini, semalam.
Ditanya penerimaan Shila pula, kata Ubai, isterinya bersikap terbuka dengan pekerjaan yang mahu dilakukannya.
“Shila cakap asalkan saya gembira, dia pun gembira. Mungkin dalam stigma masyarakat, kalau bergelar artis atau orang yang ada nama di media sosial mahupun televisyen, kita kena sentiasa menjaga ‘standard’.
“Macam saya pula dibesarkan dalam keluarga sederhana, asalkan pekerjaan itu halal, tidak buat salah dan tidak kacau orang, saya okay sahaja,” katanya.
Diminta mengulas dakwaan netizen yang menganggap dirinya menumpang rezeki isteri pula, Ubai mengakui ia adalah isu lama.
“Sebenarnya isu itu sudah timbul sebelum kami berkahwin lagi. Orang tanya saya kerja apa?
“Sebenarnya, saya bermula dalam bidang digital. Selepas tempoh tiga empat tahun, saya buka syarikat sendiri.
“Kini, saya sudah ada produksi sendiri yang menguruskan projek digital terutama membabitkan kempen dari pelbagai jenama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




