Legenda England dakwa Tuchel perisik Jerman

Legenda England dakwa Tuchel perisik Jerman

London: Bekas kapten England, Gary Lineker melontarkan sindiran pedas terhadap Thomas Tuchel dengan berseloroh sama ada pengendali The Three Lions itu sebenarnya ‘perisik Jerman’.

Hos program The Rest is Football itu mengkritik pendekatan taktikal Tuchel selepas England tewas 1-2 kepada Argentina pada aksi separuh akhir Piala Dunia.

England mendahului menerusi jaringan menarik Anthony Gordon pada minit ke-55, namun Argentina menguasai permainan selepas itu sebelum bangkit meraih kemenangan hasil jaringan Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez, manakala Lionel Messi mencipta dua bantuan gol.

Lineker, 65, berkata secara berseloroh: “Saya tertanya-tanya sama ada Thomas Tuchel sebenarnya perisik Jerman.

“Kami diperhatikan. Saya fikir Jerman, kerana mereka tidak begitu bagus ketika ini dan gagal melepasi saingan peringkat kumpulan, kemudian mereka menghantar seseorang… Maksud saya, saya hanya bergurau.”

Gordon kemudian dikeluarkan, manakala pertahanan Ezri Konsa, Dan Burn dan Nico O’Reilly dimasukkan dalam tempoh 20 minit terakhir ketika Tuchel cuba mempertahankan kelebihan satu gol.

Namun, pertukaran itu gagal membuahkan hasil apabila Argentina menyamakan kedudukan menerusi Enzo Fernandez sebelum Lautaro Martinez meledak gol kemenangan.

Lineker turut mempersoalkan sama ada bekas pengendali Chelsea dan Bayern Munich itu masih individu paling sesuai untuk terus mengemudi England.

“Tuchel menandatangani kontrak baharu sebelum Piala Dunia, tetapi saya tertanya-tanya bagaimana kedudukannya sekarang.

“Beliau dibawa masuk untuk membantu kami melepasi halangan terakhir.

“Adakah dia orang yang tepat untuk membawa England ke tahap seterusnya? Saya tidak pernah meminta sesiapa dipecat, tetapi semuanya bergantung kepada beliau dan bagaimana FA (Persatuan Bolasepak England) menilai situasi ini.

“Adakah kita benar-benar berpuas hati sekadar mara ke separuh akhir?” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top