Las Vegas: Uber pada Isnin memperkenal roboteksi buatan khas yang akan ditambah ke platform perkongsian kenderaan globalnya, bermula di San Francisco, Amerika Syarikat (AS), yang turut menjadi medan persaingan dengan pencabarnya, Waymo milik Google.
Roboteksi Uber itu dibina menerusi kerjasama dengan firma teknologi pemanduan autonomi, Nuro dan pengeluar kenderaan elektrik, Lucid menggunakan platform yang dikuasakan oleh gergasi cip kecerdasan buatan (AI), Nvidia.
Akhir tahun lalu, Uber dan Nvidia mengumumkan kerjasama untuk melancarkan 100,000 roboteksi bermula pada 2027.
“Bersama Uber, kami mencipta rangka kerja untuk seluruh industri melancarkan armada autonomi secara besar-besaran, dikuasakan oleh infrastruktur AI Nvidia,” kata Ketua Eksekutif Nvidia, Jensen Huang pada waktu itu.
Katanya, apa yang pernah dianggap sebagai fiksyen sains kini pantas menjadi kenyataan harian.
Nvidia sudah bekerjasama dengan pelbagai pengeluar automotif bagi membolehkan teknologinya digunakan dalam sistem pemanduan autonomi.
Roboteksi Lucid Gravity yang mampu memuatkan enam penumpang dan dilengkapi pengalaman pemanduan dalam kabin rekaan Uber, dipamerkan di pameran Nvidia di resort Fontainebleau di Las vegas.
Roboteksi elektrik sepenuhnya itu akan mempunyai skrin interaktif yang membolehkan penumpang mengawal ciri seperti pemanas tempat duduk, kawalan suhu dan muzik, selain membolehkan penumpang menghubungi pasukan sokongan atau mengarahkan kenderaan untuk berhenti.
Ujian jalan raya bagi robotaksi berkenaan bermula pada bulan lalu dengan kehadiran pemandu sebagai langkah berjaga-jaga.
Pelancaran perkhidmatan robotaksi Uber itu dijadualkan pada akhir tahun ini sekiranya mendapat kelulusan daripada pengawal selia di California.
“Uber berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Lucid dan Nuro untuk membekalkan robotaksi serba canggih ke pasaran akhir tahun ini,” kata Ketua Global Mobiliti Autonomi Uber, Sarfraz Maredia.
Uber pada masa ini membolehkan pengguna di beberapa bandar di AS menggunakan roboteksi yang dikendalikan oleh Waymo milik Google.
Roboteksi Waymo semakin popular di San Francisco malah menjadi antara tarikan pelancong.
Armada Waymo di kawasan itu dianggarkan melebihi 800 kenderaan dan perkhidmatannya akan tersedia di 10 bandar di AS dalam beberapa bulan akan datang, termasuk di London.
Zoox milik Amazon juga sudah mula menawarkan perkhidmatan pemanduan tanpa pemandu di beberapa kawasan di San Francisco sebagai sebahagian daripada program ‘penjelajah’ terhad bagi perkhidmatan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




