ANAK syarikat milik penuh dan sayap industri hijau UEM Group Berhad (UEM Group), UEM Lestra Berhad (UEM Lestra) memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan ACWA Power dari Arab Saudi untuk menjalankan kajian bagi membangunkan loji penjanaan tenaga dan air bebas (IWPP) di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif, Harman Faiz Habib Muhamad berkata, kerjasama tersebut merupakan inisiatif penting bagi menyediakan bekalan air dan tenaga gred industri lebih mampan dalam negara.
Menurutnya, jika ia dilaksanakan akan berpotensi menarik lebih banyak pelaburan asing (FDI), terutamanya dalam sektor pembuatan dan pusat data negara.
āKami akan meneruskan kerjasama ini dengan ACWA Power bagi memastikan loji dan kemudahan dapat dibangunkan dengan jayanya.
āKerjasama ini bukan sahaja akan menangani permintaan peningkatan sumber air oleh industri tetapi juga selari dengan sasaran tenaga boleh baharu di Malaysia,ā katanya pada Rabu.
Perjanjian kerjasama strategik itu ditandatangani wakil UEM Lestra iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Harman Faiz dan Ketua Pegawai Pembangunan, Rashidi Hazrin Harun.
ACWA Power pula diwakili Ketua Pegawai Pelaburan dan Pembangunan, Thomas Brostrom dan Ketua Pegawai Eksekutif di Malaysia, Mathew Chandapillai.
Turut hadir, Pengerusi UEM Group, Datuk Hisham Hamdan; Pengerusi UEM Lestra, Datuk Amran Hafiz Affifudin; Naib Presiden Serantau ACWA Power, Salman Baray dan Penasihat Kanan kepada Pengerusi ACWA Power bagi Malaysia, Tan Sri Azman Mokhtar.
Dalam pada itu menerusi perjanjian tersebut, ACWA Power akan menjalankan kajian bersama UEM Lestra untuk meneroka pembangunan kemudahan IWPP boleh baharu selain menggunakan teknologi Osmosis Songsang Air laut (SWRO) di negara ini.
Kajian dijangka mengambil masa selama enam hingga 12 bulan itu turut merangkumi loji penyahgaraman yang mampu menghasilkan sekitar 200,000 ke 400,000 meter kubik air sehari bagi kegunaan industri.
Selain itu, ia juga melengkapi kemudahan IWPP sama ada penyelesaian turbin gas kitaran gabungan (CCGT), ladang solar berskala besar (di atas darat atau terapung) yang dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) atau gabungan kedua-duanya.
Sementara itu Thomas berkata, kolaborasi bersama UEM Lestra merupakan usaha mereka ke arah menyediakan penyelesaian air dan tenaga mampan.
Beliau berkata, dengan memanfaatkan kepakaran global dapat membantu memenuhi keperluan air bagi industri di Malaysia selain menyumbang ke arah pembangunan infrastruktur hijau negara.
āKerjasama ini menyokong sasaran kelestarian Malaysia, menarik pelaburan asing dan meletakkan penanda aras baharu bagi utiliti yang lebih inovatif serta kalis masa hadapan,ā ujarnya.