UiTM Shah Alam ungguli Liga IPT

UiTM Shah Alam ungguli Liga IPT

Skuad UiTM Shah Alam muncul juara buat kali keenam Liga Bola Sepak IPT. – Foto Seksyen Sukan, BPS, Kementerian Pendidikan Tinggi

UNIVERSITI Teknologi Mara, Shah Alam (UiTM Shah Alam) berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara Divisyen 1, kejohanan Liga Bola Sepak IPT (LBSIPT) 2022/23.

Kejayaan itu menobatkan UiTM sebagai juara buat kali keenam bagi membolehkan membawa pulang wang tunai RM15,000 bersama trofi kemenangan.

Lebih manis dua pemain UiTM Shah Alam berkongsi gelaran penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan jaringan menerusi Muhammad Zharif Nazhan Refli dan Muhammad Harith Akif Mohd Shahar.

Sebanyak 13 pasukan berentap dalam Divisyen 1 kejohanan yang bermula 3 Disember 2022 dan berakhir pada 25 Februari lalu.

Naib juara pula menjadi milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali gus meraih wang tunai RM12,000, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat ketiga dengan wang tunai RM8,000.

UiTM Perlis dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing di tempat keempat serta kelima dan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM3,000.

Kejayaan bersejarah UiTM juga membolehkan mereka mengetuai 12 pasukan yang layak beraksi bagi merebut Piala Menteri Pendidikan Tinggi 2023 yang dijadualkan pada September hingga Oktober depan.

Pemilihan pasukan itu berdasarkan kepada pencapaian lapan pasukan terbaik Divisyen 1, tiga pasukan terbaik Divisyen 2 dan juara bagi Divisyen 3.

11 pasukan lain yang bakal mengiringi UiTM beraksi di Piala Menteri Pendidikan Tinggi adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA Perlis (UiTM Perlis), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Multimedia (MMU).

Turut mara ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Politeknik Malaysia (Poli Malaysia), Universiti Malaya (UM) dan Cyberlynx International College (Cyberlynx Int College).

Majlis penyerahan trofi buat Divisyen itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr. Pekan Ramli.