Ujian sebenar tiga pengarah muda

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kefahaman ilmu digali dan dipelajari sekumpulan amatur sepanjang dua tahun mengikuti kursus di balik tabir anjuran Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bakal teruji menerusi projek filem perintis, Misteri Hutan Tok Kepak yang memulakan penggambaran, minggu lalu.

Ibarat peperiksaan yang diberikan markah, pembikinan filem ini juga bakal menentukan sama ada ilmu dipelajari ketika mengikuti program Pemantapan Ahli Amatur dimanfaatkan atau sekadar retorik semata-mata.

Dilancarkan bulan lalu, projek perintis FDAM ini bakal menyaksikan tiga sutradara muda berkolaborasi mengarahkan filem bergenre seram ini di bawah pemantauan Datuk Zulkeflie M Osman.

Zulkeflie berkata, walaupun boleh dianggap masih hijau, kredibiliti dimiliki tiga pengarah muda, Khairul Azizi, Rayyan Danish dan Asrul Nizam tidak boleh dipandang sebelah mata.

“Projek ini dilaksanakan oleh ahli amatur FDAM yang dilatih selama dua tahun. Mereka pernah berpengalaman dalam pembikinan filem dari segi praproduksi, produksi dan pascaproduksi sehingga mahir.

“Malah, ahli amatur ini mempunyai pengalaman dari segi menghasilkan filem pendek. Setiap mereka mempunyai kepakaran masing-masing. Ada yang mahir dari aspek teknikal, sudut lakonan dan memahami kesenian.

“Kepakaran ini digabungkan agar mendapat menghasilkan naskhah filem lengkap dari pelbagai aspek dan memenuhi cita rasa penonton,” katanya kepada BH Online.

Zulkeflie ditemui pada majlis Pelepasan Tren Barisan Kru dan Pelakon Misteri Hutan Tok Kepak (MHTK), di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Selain Zulkeflie, seramai 30 kru dan pelakon termasuk Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim menaiki koc khas tajaan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) ke lokasi penggambaran di utara tanah air.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim; Ahli Majlis Penasihat FDAM, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Ketua Pegawai Korporat KTMB, Suhaimi Yaacob, baru-baru ini.

Bagi memberikan cabaran, Zulkeflie berkata, filem yang dihasilkan dengan kerjasama syarikat produksi, K Titanium Productions Sdn Bhd itu akan mengetengahkan kisah dua garis masa yang berbeza.

“Filem ini mengetengahkan dua zaman iaitu masa kini dan zaman purba yang membabitkan tujuh keturunan lampau. Apabila ada garis masa berbeza, bermakna latar tempat juga berlainan.

“Jadi, di sinilah kreativiti tiga pengarah ini diuji. Sudah menjadi objektif FDAM menghasilkan projek filem untuk mencari lebih banyak pelapis muda dalam bidang pengarahan.

“Bukan hanya mengetengahkan pengarah muda berilmu dan berkualiti, malah menggilap bakat pelapis generasi muda untuk masa depan industri,” ujarnya optimis.

Kenyataan Zulkeflie turut dipersetujui penerbit filem yang juga Pengarah K Titanum Productions, Datuk Seri P Nagalingam yang berkongsi misi dan aspirasi sama dengan FDAM apabila berminat menjalinkan kerjasama.

“Saya tahu kita mempunyai ramai pengarah berkaliber dan berwibawa. Saya pernah bekerjasama dengan mereka.

“Namun, sampai bila hanya mahu bergantung pada mereka. Satu hari nanti, mereka akan meninggalkan bidang seni dan kita perlukan lebih ramai pengarah pelapis.

“Disebabkan itu, saya bersetuju bekerjasama dengan FDAM. Pengarah yang terpilih ini sememangnya layak kerana mereka turun padang untuk mengarahkan filem, kami terlebih dahulu menghantar mereka menimba ilmu dengan pengarah profesional seperti Rashid Sibir, Hashim Rejab, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Zulkeflie,” katanya.

Ditanya mengapakah genre seram menjadi pilihan, Nagalingam menjelaskan, selain memberi alternatif kepada penonton, filem itu juga menyalurkan mesej berguna kepada generasi muda.

“Jika diperhatikan, kebanyakan filem tempatan berkisar kepada kisah cinta atau skandal. Jika ada filem seram yang dihasilkan, kebanyakannya lebih kepada komedi.

“Selain memaparkan adegan seram sepenuhnya, karya ini juga akan mengembalikan semula ingatan terhadap jenis pantang larang yang sering disebut oleh orang tua zaman dahulu.

“Contohnya, bagaimana adab apabila memasuki kawasan hutan. Secara tidak langsung, filem ini dapat menyalurkan maklumat berguna kepada penonton,” ujarnya.

Mengulas sokongan diberikan FINAS terhadap filem itu, Nagalingam berkata, bantuan diperlukan dari segi pemasaran dan publisiti kerana itu adalah elemen penting bagi memastikan filem mendapat sambutan penonton.

“Kami membiayai sepenuhnya pembikinan filem ini, namun jumlahnya masih belum dapat dipastikan kerana penggambaran baru sahaja mula.

“Cuma, kami mengharapkan FINAS dapat membantu dari segi promosi dan pemasaran selepas penggambaran selesai,” katanya.

Skrip filem Misteri Hutan Tok Kepak hasil tulisan Dilla Hussein menggabungkan pelakon lama dan baharu seperti Aman Shah, Zed Zaidi, Along Cham, Yank Kassim, Wan Nor Azlin, Ebby Saiful, Razali Hussein dan Megat Terawis.

Terdahulu, bermula hanya empat ahli ketika program bermula pada penghujung 2019, jumlah ahli amatur FDAM kini mencapai hampir 300 orang dari seluruh negara.

Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya seperti pensyarah, peguam, peniaga, penerbit, pelakon dan graduan pusat pengajian tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Comment