'Ulat' kereta sewa haram terus dibanteras

'Ulat' kereta sewa haram terus dibanteras

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Sepang: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terus membanteras aktiviti ‘ulat’ kereta sewa haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menahan dua pemandu dalam serbuan berasingan di Terminal 1 dan Terminal 2.

JPJ Selangor dalam kenyataan, tangkapan pertama dilakukan di Terminal 2 KLIA pada Sabtu lalu hasil intipan dan pemantauan oleh Stesen Penguatkuasa KLIA.

“Sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berserta pemandu telah ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua orang penumpang warga Sri Lanka dari Terminal 1 ke Terminal 2 KLIA dengan kadar tambang RM30 yang akan dibayar apabila sampai ke destinasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berasingan hari ini, JPJ Selangor turut membuat tangkapan di Terminal 2 KLIA melibatkan sebuah lagi Perodua Alza yang menawarkan perkhidmatan haram kepada tujuh penumpang warga Kazakhstan dari Terminal 2 KLIA ke Vortex Star KLCC dengan kadar tambang RM140.

“Pemandu turut ditahan dan kenderaan disita bagi siasatan seterusnya,” katanya.

JPJ Selangor berkata, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

“Orang awam dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top