UM kekal universiti terbaik negara, ke-58 dunia dalam QS ranking 2026

UM kekal universiti terbaik negara, ke-58 dunia dalam QS ranking 2026

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) terus mengekalkan kedudukannya sebagai universiti terbaik di negara ini selepas menjadi satu-satunya universiti tempatan yang berada dalam senarai 100 universiti terbaik dunia, mengikut QS World University Rankings 2026.

UM berada di kedudukan 58, meningkat dua anak tangga berbanding tahun lalu, dengan skor keseluruhan sebanyak 80.1.

Ia diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang berada di kedudukan 126, dengan skor keseluruhan sebanyak 65.2.

Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) berkongsi kedudukan di tangga 134, dengan skor keseluruhan sebanyak 64.1.

Satu lagi universiti yang disenaraikan dalam kalangan 200 universiti terbaik dunia adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan 153, dengan skor keseluruhan sebanyak 61.6.

Sementara itu, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) berada di kedudukan 251, Taylor’s University (253), UCSI University (269), Sunway University (410) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) (491).

INTI International University (509), Universiti Teknologi MARA (UiTM)(542), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) (551) dan Asia Pacific University of Technology and Innovation (APU) Malaysia serta Management and Science University (597).

Pada masa sama, Sunway University diumumkan sebagai universiti yang mencatatkan prestasi tertinggi dari segi peningkatan kedudukan, iaitu meningkat lebih 120 anak tangga ke kedudukan 410.

Lebih 1,500 universiti terkemuka dunia disenaraikan dalam QS World University Rankings edisi 2026, di lebih 100 lokasi di seluruh dunia.

Secara keseluruhan, Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat (AS) sekali lagi disenaraikan sebagai universiti terbaik di dunia, diikuti Imperial College London, United Kingdom (UK) dan Stanford University, AS.

Selain itu, hampir 500 universiti berjaya meningkatkan prestasi mereka sejak tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top