Umar sensitif bila duit negara diusik

Umar sensitif bila duit negara diusik

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 60)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

Advertisement

QATADAH berkata: Muaiqib dilantik menjadi penjaga Baitulmal di zaman Saidina Umar al-Khattab memerintah. Pintu Baitulmal terselak suatu hari. Muaiqib dapati ada satu dirham. Dia berikan saru dirham itu kepada seorang anak Umar.

Muaiqib berkata: Kemudian saya pulang ke rumah. Tiba-tiba utusan Umar datang memanggilku. Aku datang. Ada satu dirham di tangan Umar.

Dia berkata: Celaka engkau wahai Muaiqib! Adakah engkau rasai sesuatu yang tidak baik yang aku lakukan? atau apa sebenarnya yang engkau buat ini?

Aku berkata: ‘Apa dia?

Umar menjawab:
أردت أن تخاصمني أمة محمد في هذا الدرهم يوم القيامة؟
‘Adakah engkau mahu umat Muhamad bertelingkah denganku terhadap satu dirham ini pada hari kiamat?’

(Tarikh/Sejarah Umar al-Khattab, Ibn Al-Jauzi ms 126)

Pengajaran dari kisah di atas:

1 – Pemerintah boleh melantik sesiapa yang dirasakan sesuai untuk memegang jawatan tertentu. Ia berlaku di zaman Nabi SAW, Khulafa ar-Rashidin dan sehingga kini. Perlantikan biarlah kena pada orangnya, kena pada jawatannya, agar tugasan yang diberi dapat dilaksanakan dengan baik.

2 – Apabila Muaiqib memberikan satu dirham itu kepada anak Umar, wallahu A’lam, hanya Allah yang tahu apa yang ada di dalam hatinya, dan apa tujuannya yang sebenar. Kita diajar untuk bersangka baik terhadap orang baik, apatah lagi bila melibatkan para Sahabat Nabi SAW.

Namun, bagi Umar, ia tetap satu perkara yang besar. Di zaman ini, ketika mazhab yang dipakai ialah ‘mazhab netizen’, orang yang sangat baik pun dicela, diberi perspektif yang buruk, dikecam tanpa usul periksa dan lain-lain. Benar, kita tidak sama dengan para Sahabat, tetapi Islam tetap mengajar kita mengenai adab.

3 – Nilai satu dirham bagi setengah orang tidaklah terlalu banyak berbanding ratus ribu ringgit. Bagi Umar, ia tetap besar kerana ia duit negara atau hak rakyat ada di situ. Bukan Umar yang beri kepada anaknya, tetapi Muaiqib. Tujuannya pun tidak diketahui. Saya tidak rasa Muaiqib sengaja mahu menyelewengkan duit Baitulmal itu. Umar sangat sensitif dengan segala perkara.

4 – Di zaman kita, dapat dilihat mereka yang tidak merasa bersalah apabila menyelewengkan duit syarikat, duit kerajaan, duit orang lain dan pelbagai jenis duit dan harta.

5 – Cuma apabila dibawa kes penyelewengan apa-apa duit, mestilah perbicaraannya itu adil, bukannya pendakwaan terpilih terhadap musuh politik sahaja. Kawan satu geng boleh dilepaskan walaupun penyelewengan duit yang dibuat sangat jelas.

6 – Kaedah Islam jelas, orang yang mendakwa mesti buktikan. Orang yang engkar diminta bersumpah menafikan. Pendakwaan pula jangan terpilih. Yang bersalah mungkin terlepas di dunia, namun di akhirat tetap akan diadili.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 12/1/2023