Universiti Portsmouth, MAHSA jalin perkongsian strategik akademik

Universiti Portsmouth, MAHSA jalin perkongsian strategik akademik

Kuala Lumpur: Universiti Portsmouth, United Kingdom hari ini memeterai perkongsian strategik bersama Universiti MAHSA dan Kolej Antarabangsa Avenue MAHSA dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara institusi pendidikan tinggi.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, Tan Sri Profesor Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah, yang menyifatkan kerjasama itu sebagai satu lembaran baharu ke arah memperkasakan hubungan akademik dan mobiliti pelajar.

“Perkongsian ini akan membuka peluang lebih luas kepada pelajar dan staf akademik kedua-dua institusi untuk membina jaringan global, selain meningkatkan daya saing graduan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Universiti Portsmouth pula diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Graham Galbraith, yang turut menegaskan komitmen universiti berkenaan untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, khususnya dengan institusi pendidikan tinggi di Malaysia.

Kerjasama strategik itu dijangka merangkumi program pertukaran pelajar, pembangunan kurikulum bersama, penyelidikan kolaboratif dan pelbagai inisiatif lain yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Pada Ogos lalu, MAHSA turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti swasta pertama dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk menubuhkan Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) bagi kursus Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC), bagi memastikan semua program ditawarkan menepati piawaian serta diiktiraf.

Untuk rekod, program micro-credential merujuk kepada sijil pembelajaran berskala kecil serta fleksibel, memfokuskan kemahiran tertentu yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

Kursus pendek ini boleh diambil tanpa perlu mengikuti program akademik penuh seperti diploma atau ijazah, menjadi jalan pintas untuk pembelajaran sepanjang hayat yang menjimatkan masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top