Nik Sazali dilantik sebagai Presiden, CEO Kumpulan SIRIM

Nik Sazali dilantik sebagai Presiden, CEO Kumpulan SIRIM

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad hari ini mengumumkan pelantikan Nik Sazali Nik Hussin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan agensi berkenaan.

SIRIM dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu menandakan kesinambungan kepimpinan dalaman SIRIM yang berteraskan pengalaman, kepakaran institusi dan pemahaman mendalam terhadap peranan organisasi dalam ekosistem industri negara.

Pengerusi SIRIM Berhad, Datuk Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata, pelantikan itu hadir pada detik penting ketika SIRIM memasuki dekad keenam operasinya.

Katanya, pelantikan itu juga mampu memberi tumpuan berterusan untuk memperkukuh keupayaan industri Malaysia dalam aspek inovasi, daya saing dan pertumbuhan.

“Pelantikan berkenaan mencerminkan keyakinan Lembaga terhadap kepimpinan yang berteraskan kekuatan dan tanggungjawab institusi SIRIM.

“Ia juga termasuk keupayaan untuk memahami dan memenuhi jangkaan pihak industri serta kerajaan yang sentiasa berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sepanjang perkhidmatan Nik Sazali, beliau sudah membuktikan kejelasan hala tuju strategik dan ketajaman pengurusan yang diperlukan bagi memikul amanah berkenaan.

Menurut beliau, Lembaga juga kekal komited untuk terus menyokong kepimpinan Nik Sazali dalam meneruskan mandat SIRIM.

Dalam pada itu, Nik Sazali membawa hampir tiga dekad pengalaman kepimpinan merentas perbankan komersial, pendidikan tinggi, perundingan pengurusan serta sektor berkaitan kerajaan.

Beliau adalah seorang akauntan bertauliah dengan pengalaman luas dalam transformasi organisasi, tadbir urus korporat, kelestarian kewangan, pertumbuhan perniagaan dan pembangunan bakat.

Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad sejak Ogos 2025.

Beliau turut pernah menerajui SIRIM Academy Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula Mac 2023 dengan memacu agenda transformasi organisasi terbabit.

Di bawah kepimpinannya, SIRIM Academy memperluas peranan dalam memperkukuh ekosistem industri merangkumi kualiti, teknologi, kelestarian serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top