Untuk apa dipertahankan tujuh pemain ‘warisan’ tersebut? – Ultras Malaya

Untuk apa dipertahankan tujuh pemain ‘warisan’ tersebut? – Ultras Malaya

KUMPULAN penyokong Harimau Malaya, Ultras Malaya tampil mempersoalkan tindakan pihak berwajib yang terus mempertahankan tujuh pemain ‘warisan’ meskipun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan dokumen yang dikemukakan bagi tujuan kelayakan adalah palsu.

Menerusi satu kenyataan, kumpulan tersebut mendakwa pendirian pihak berwajib tersebut seolah-olah tindakan yang menimbulkan persoalan serius terhadap integriti negara.

“Untuk apa dipertahankan tujuh pemain ‘warisan’ yang terlibat dalam pemalsuan dokumen itu lagi? Proses tersebut telah menimbulkan persoalan serius terhadap integriti negara,” kata kenyataan itu.

Ultras Malaya turut mempersoalkan pihak berwajib yang yang cuba mengelirukan orang ramai dengan memisahkan isu pemberian kewarganegaraan dan kelayakan bermain di peringkat FIFA.

ARTIKEL BERKAITAN: PM mahu FAM teliti isu kerakyatan tujuh pemain warisan

“Jangan putar isu ini seolah-olah orang ramai tidak faham beza antara pemberian kewarganegaraan dan kelayakan bermain. Orang ramai faham. Tetapi jangan cuba asingkan peranan kerajaan dalam rantaian dokumen yang digunakan untuk proses eligibility bermain di peringkat FIFA.

“Jika FIFA salah dalam pendedahan mereka, cabar FIFA. Jika Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) salah, cabar CAS.

“Jika dapatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) salah, jawablah secara rasmi. Jika semua pembongkaran itu fitnah, pertahankan nama Malaysia,” kata kenyataan itu.

Jelas Ultras Malaya, dalam keadaan wujudnya percanggahan fakta, beban untuk memberi penjelasan terletak di bahu pihak yang mengeluarkan dan mengesahkan dokumen tersebut, bukannya meminta rakyat meneka atau menerima naratif yang tidak konsisten.

“Lebih penting, apabila kandungan dan asas dokumen itu kemudian bercanggah dengan dapatan FIFA, kenapa masih mahu buat seolah-olah kerajaan langsung tidak ada kena-mengena?

“Berbulan selepas pembongkaran ini berlaku, selepas ruang menjawab, rayuan dan pengadilan telah dilalui di peringkat FIFA dan CAS, hanya naratif sama yang diulang tanpa tindakan tegas.

“Justeru, kami mendesak agar kewarganegaraan tujuh pemain yang terlibat dalam pemalsuan dokumen tersebut ditarik balik segera,” ujar kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu membabitkan status kerakyatan tujuh pemain itu perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat FAM sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula memaklumkan bahawa proses pemberian kerakyatan sebelum ini dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.

FIFA pada September tahun lalu mendapati wujud unsur pengubahsuaian atau pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan tujuh pemain ‘warisan’ negara.

Susulan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.7 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM9,800) berserta penggantungan selama 12 bulan.

Walaupun FAM telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Oktober 2025, mahkamah bagaimanapun menolak rayuan tersebut pada Mac lalu dan mengekalkan hukuman FIFA.

Biarpun digantung, pemain terbabit masih dibenarkan menjalani latihan dan kekal bersama kelab masing-masing, namun mereka dilarang daripada beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi sepanjang tempoh penggantungan.

Scroll to Top