UPM pacu keterjaminan makanan dalam era pasaran terbuka

Pernahkah kita terfikir dari mana datangnya beras, sayur, daging dan telur yang memenuhi hidangan harian?

Di sebalik makanan di atas meja, terdapat rangkaian pengeluaran dan perdagangan yang merentas sempadan. Persoalan inilah yang diberi perhatian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai universiti peneraju pertanian dan keterjaminan makanan. Dalam era liberalisasi perdagangan, pengurangan sekatan tarif dan bukan tarif membolehkan produk pertanian bergerak lancar merentas sempadan.

Bagi Malaysia, perdagangan antarabangsa membantu menambah bekalan, memperluas pilihan dan menstabilkan harga apabila pengeluaran tempatan terganggu. Namun, makanan bukan sekadar komoditi. Ia berkait rapat dengan kos sara hidup, kesihatan rakyat dan keselamatan negara.

Kadar Sara Diri bagi 2024 memperlihatkan mengapa isu ini perlu diberi perhatian. Beras mencatatkan 52.9 peratus, daging lembu dan kerbau 16.8 peratus, manakala sayur-sayuran 46.8 peratus.

Daging ayam pula mencapai 92.9 peratus dan telur 107.0 peratus. Walaupun unjuran bekalan jangka pendek mungkin menunjukkan lebihan bagi komoditi tertentu, angka itu belum menjamin daya tahan makanan dalam jangka panjang.

Import kekal sebagai talian hayat, tetapi kebergantungan keterlaluan mendedahkan negara kepada konflik geopolitik, gangguan perkapalan serta kenaikan harga baja dan makanan ternakan.

Kesannya dirasai pengguna melalui harga makanan yang meningkat.

Pasaran terbuka juga tidak bermaksud makanan boleh dibawa masuk tanpa kawalan.

Permit import, pengesahan halal, pemeriksaan makmal dan biosekuriti tetap penting. Bekalan murah dan banyak tidak membawa makna jika keselamatannya diragui atau maklumat produk dimanipulasi melalui penipuan label.

Penyelesaiannya ialah dasar yang seimbang. Negara perlu meningkatkan pengeluaran beras, daging, susu dan sayur-sayuran melalui teknologi serta produktiviti, mengutamakan pasaran domestik sebelum eksport, menambah baik stok penimbal dan mempelbagaikan sumber import. Permit import berasaskan risiko, kebolehkesanan makanan, kapasiti MAQIS serta perkongsian data masa nyata antara agensi perlu dipertingkat.

Dalam usaha ini, UPM berperanan menghubungkan ilmu dengan keperluan sebenar negara. Melalui Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, kepakaran dalam penyelidikan, ekonomi pertanian dan dasar makanan dapat digembleng untuk menilai risiko, mencadangkan intervensi serta menyokong keputusan berasaskan bukti.

Jaringan kerjasama UPM dengan kerajaan, industri, petani dan komuniti membuka ruang kepada pembangunan teknologi, peningkatan produktiviti dan pengukuhan rantaian agromakanan.

Kekuatan UPM bukan sekadar terletak pada penghasilan penyelidikan, tetapi pada keupayaannya menterjemahkan ilmu kepada penyelesaian yang boleh dimanfaatkan masyarakat.

Peranan pendidikan awam juga penting supaya pengguna memahami hubungan antara pilihan makanan, kekuatan pengeluar tempatan dan daya tahan negara.

Mesejnya jelas. Perdagangan antarabangsa mesti menjadi pelengkap, bukannya pengganti kepada pengeluaran tempatan.

Dengan ilmu, inovasi dan kolaborasi yang diterajui UPM, agenda keterjaminan makanan negara dapat dibina lebih mampan, selamat, telus dan berdaya tahan ketika krisis. – UTUSAN

  • Penulis ialah Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia
Scroll to Top