Izzue mahu jadi anak seni serba boleh

puterialia@hmetro.com.my

MESKIPUN sudah hampir dua dekad menempa nama dalam industri hiburan, pelakon dan pengacara, Izzue Islam enggan mengikat diri pada satu gelaran sahaja sebaliknya berhasrat untuk terus mekar sebagai anak seni serba boleh.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, berkata dia tidak mempunyai perancangan untuk memperlahankan bidang lakonan, sebaliknya mahu terus aktif dalam pelbagai bidang seni yang ada.

“Orang kenal saya bukan sebagai pelakon semata-mata dan bukan juga sebagai penyanyi sahaja. Orang tengok saya berlakon, menyanyi dan menjadi pengacara. Malah, kalau ada program menari pun saya akan sertai.

“Saya mahu orang nampak saya sebagai anak seni yang boleh terbabit dalam apa sahaja bidang seni yang ada. Maksudnya, kalau diberi peluang, kita mesti boleh buat,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Bekas anggota kumpulan Forteen itu turut meletakkan analogi bahawa bidang seni merangkumi pelbagai aspek kehidupan, termasuklah kulinari.

“Sebagai contoh, kalau orang panggil saya untuk sertai program memasak, saya boleh memasak kerana memasak itu juga satu bentuk seni.

“Jadi, apa sahaja yang berkaitan dengan seni, insya-Allah jika ada peluang, saya akan cuba selitkan dan sertai. Saya memang tidak mahu statik dengan satu gelaran sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Izzue menegaskan dia sentiasa komited dan memberikan hasil kerja terbaik dalam setiap naskhah mahupun tugasan yang diamanahkan kepadanya.

“Saya tetap akan berikan yang terbaik dalam setiap karya yang saya terlibat, tidak kira sama ada dalam berlakon, pengacaraan mahupun bidang nyanyian,” kongsinya.

Menyedari tugas sebagai pengacara menjadi perhatian umum, Izzue memilih untuk sentiasa berwaspada bagi mengelakkan daripada terlanjur kata ketika mengendalikan sesebuah program realiti.

Menurut Izzue, setiap percakapan dan tindakan pengacara di atas pentas akan sentiasa dinilai oleh penonton.”Ini untuk diri saya sendiri. Memang saya tidaklah terlalu lama dan masih boleh dianggap baharu dalam bidang pengacaraan.

“Memang setiap apa yang kita buat, terutamanya perbuatan dan juga percakapan yang akan diucapkan di atas pentas, semua orang akan pandang dan nilai.

“Bagaimana kita mengendalikan penonton, cara kita berinteraksi dengan penonton, peserta mahupun juri, semuanya akan dinilai. Bukan sahaja oleh mereka yang ada di situ, malah seluruh penonton di luar sana,” kongsinya lagi.

Izzue yang pernah menjadi pengacara bagi program Muzik Muzik 40 ini mengakui sentiasa beringat dan memikirkan kesannya sebelum menuturkan sebarang kata-kata ketika bercakap.

“Kalau macam saya, memang banyak berjaga-jaga. Dalam kepala memang akan sentiasa berfikir, jika saya cakap sesuatu perkara itu, adakah ia akan memberikan impak negatif atau positif kepada peserta, penonton atau sesiapa sahaja yang menyaksikan,” katanya.

Menyedari jurang generasi dalam kalangan penonton, Izzue menekankan kepentingan untuk mengimbangi serta menapis perkara yang disampaikan agar relevan dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Menurut pelakon drama Sebenarnya, Saya Isteri Dia! ini, elemen jenaka dulu dan sekarang pada dasarnya lebih kurang sama, namun cabaran utama seorang pengacara adalah memuaskan hati pelbagai lapisan usia penonton.

“Sebab penonton pun kita tidak tahu, ada dalam kalangan orang lama dan ada juga generasi baharu. Kalau kita guna jenaka lama, mungkin orang-orang lama sahaja yang boleh ‘relate’. Kalau kita guna jenaka baharu, generasi sekarang pula yang faham.

“Jadi itulah cabaran sebenar seorang pengacara yang perlu seimbangkan dengan semua generasi. Kalau kita ikut gaya generasi sekarang sahaja, nanti orang lama tak boleh nak faham. Begitu juga kalau guna cara lama sahaja, orang sekarang pula tak boleh nak ikut.

“Kalau bagi saya, memang kena ada campuran. Kadang-kadang memang kena guna juga jenaka-jenaka yang lama, cuma banyak yang perlu ditapis sebab persekitaran sekarang memang sangat sensitif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Izzue memilih untuk bersikap terbuka dalam berdepan kritikan netizen, terutamanya jika teguran yang diberikan mampu membina dan memperbaiki kualiti kerjayanya.

Izzue berkata, dia tidak teragak-agak untuk menerima serta mengaplikasikan sebarang maklum balas positif yang boleh membantunya menjadi seorang pengacara atau anak seni yang lebih baik.

“Kalau perkara itu bantu saya untuk jadi lebih maju dan dapat memperbaiki diri saya, biasanya saya akan guna (teguran itu). Saya terima sahaja teguran itu.

“Sebab ada sahaja orang yang komen kata saya mengacara seperti berlebih-lebihan. Jadi kalau benda itu kita boleh ambil, kita guna balik.

“Mungkin ada bahagian yang terlebih dan ada bahagian yang kurang, jadi kita betulkanlah. Saya okay sahaja. Apa-apa sahaja perkara yang boleh bantu saya perbaiki diri, saya akan buat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top