Usahawan reda anak dilahirkan sumbing – “Lambat post gambar bukan sebab malu”

Usahawan, penceramah motivasi dan selebriti media sosial, Andika Putera menafikan kononnya dia malu untuk berkongsi keadaan wajah anak sulung Alisha Puteri yang dilahirkan dengan keadaan bibir sumbing, bulan lalu.

Menerusi satu perkongsian di laman Instagram, lelaki berusia 24 tahun itu sebaliknya menunggu tempoh 44 hari sebelum mendedahkan wajah bayi perempuannya di media sosial.

“Anak hebat, anak luar biasa, anak yang kuat. Anak kami, adalah seorang cleft lips (sumbing), kami dah tahu waktu baby masih lagi kandugan umur 5 bulan.
“Dika tak post gambar Alisha, bukan malu, bukan takut mulut orang, tapi nak tunggu Alisha besar sikit, baru Dika akan post. Harini cukup 44 hari umur Alisha, Dika post.
“Adakah terfikir banyak nak post? Tak. Sebab Dika bersyukur apa sahaja yang Allah bagi. Dika bersangka baik dengan apa sahaja Allah bagi. Kita ini hamba Allah, kita ikut jalan Allah, bukan Allah ikut apa yang kita nak,” tulisnya di laman Instagram.

Menurut Andika, isterinya Ananda Natasha sedih apabila mengetahui anak mereka mengalami sumbing ketika bayi itu masih dalam kandungan kerana memikirkan tanggapan orang ramai sebelum belajar menerima ujian diberikan Allah SWT.

“Tapi tak lama, Alhamdulillah. Dika bahagia di dalam. Nampak kasih sayang Allah di setiap ujian. Disini lah kasih sayang Allah, nak kita bergantung padanya. Nak kita teguh tauhid hati kita.
“Tak kisah lah, mak ayahnya, Alisha. Mesti ada sebab baik . Mesti ada hikmah yang sangat indah Allah cipta macam ni. Tidak mungkin saja saja sebab Allah adalah Maha Pencipta yang Sempurna, sebaik-baik ciptaanNya,” katanya.

Sementara itu, dia turut memaklumkan anaknya bakal menjalani pembedahan plastik sekali gus dapat memulihkan keadaan bahagian bibir pada November nanti.

“Perjalanan @alisha_puterii , dia akan buat pembedahan lagi tiga bulan. Harap semua boleh beri sokongan positif kat baby,” kongsinya.

Terdahulu, Andika mencetuskan kontroversi apabila mengulas isu curang dengan menyatakan perbuatan itu adalah dengan izin Allah selain kecaman netizen terhadap video promosi produk kesihatan lelaki yang dilakonkan berbaur lucah.

Sumber: Instagram Andika Putera